SHAH ALAM: Kes serangan jantung, strok dan masalah pembekuan darah yang berlaku kini tiada kaitan dengan vaksin AstraZeneca.

Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia kerana tiada lagi program vaksinasi menggunakan vaksin berkenaan kebelakangan ini.

“Kesan sampingan yang dikaitkan dengan vaksin AstraZeneca adalah kesan darah beku atau Vaccine Induced Immune Thrombotic Thrombocytopenia (VITT).

“Ia adalah penyakit darah membeku bersama dengan sel darah kuning menjadi kurang. Perkara ini hanya berlaku dalam sela masa empat hari hingga empat minggu (sebulan) selepas menerima vaksinasi,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, X pada Selasa.


Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, pihaknya pada ketika itu telah menerima laporan berkenaan VITT, namun vaksin itu perlu digunakan untuk program vaksinasi kerana kadar kematian akibat COVID-19 dalam kalangan masyarakat yang tidak divaksin amat tinggi.

Bagaimanapun, Noor Hisham berkata, golongan berisiko tinggi adalah individu yang mempunyai sejarah pembekuan darah sebelum ini dan mereka tidak dibenarkan menerima vaksin jenis AZ.

Susulan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengeluarkan garis panduan bagi menyaring golongan yang berisiko tinggi untuk tidak menerima vaksin AZ dan bagi pengesanan awal jika kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) berlaku.

“Insiden kesan samping VITT sangat rendah iaitu empat kes dalam setiap 1 juta suntikan. Jika dibandingkan dengan risiko darah beku dan platelet rendah selepas jangkitan COVID-19 itu, ia lebih selamat.

“Selepas jangkitan COVID-19, risiko kesan darah beku daripada jangkitan thrombotic thrombocytopenia (TT) ini adalah setinggi 165,000 kes dalam 1 juta jangkitan.

“Insiden darah beku dalam kalangan perokok pula adalah lebih tinggi iaitu hampir 1,800 kes dalam 1 juta perokok. Tiada lagi kes VITT dikesan dan dilaporkan kini,” ujarnya.

Tambah beliau, serangan jantung, strok dan masalah pembekuan darah yang masih berlaku kini adalah disebabkan faktor risiko lain seperti merokok, kolesterol dan kencing manis.

Justeru, orang ramai diminta membezakan antara kesan sampingan VITT dengan masalah pembekuan darah yang lain. - Sinar Harian