EL ARISH: China terus menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan penghantaran terbaharu dibuat pada 28 November.

Bantuan kemanusiaan itu, termasuk ubat-ubatan dan barangan makanan seperti makanan dalam tin, biskut, madu, oat dan air minuman.

Selain itu, wakil pejabat China ke Palestin turut menandatangani sijil penyerahan kiriman wang tunai sebanyak US$1 juta (RM4.65 juta) dengan Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Timur Dekat pada Rabu.

Sebelum ini, Presiden Xi Jinping ketika menghadiri sidang kemuncak khas BRICS mengenai isu Palestin-Israel pada minggu lalu, mengumumkan China akan terus menghulurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza untuk meredakan ketegangan situasi kemanusiaan di wilayah itu.

-- BERNAMA