BEIJING: China membantah dan mengutuk perjalanan 'transit' Naib Presiden Taiwan dan calon Presiden Lai Ching-te di Amerika Syarikat (AS), lapor Sputnik.

Lai Ching-te dalam hantaran di X Twitter, pada malam Sabtu berkata beliau transit di New York sebelum meneruskan perjalanan ke Paraguay bagi menghadiri majlis pelantikan Presiden Paraguay Santiago Pena.

"China menentang semua bentuk interaksi rasmi antara AS dan Taiwan dan puak pemisah Taiwan yang melawat AS atas sebarang alasan atau justifikasi dan membantah sebarang bentuk hubungan rasmi antara kerajaan AS dan Taiwan," menurut kenyataan Kementerian Luar China pada Ahad.

Kementerian mendakwa semasa transit, AS memberi peluang kepada Lai untuk menjalankan aktiviti politik di AS, yang melanggar prinsip Satu China, selain menjejaskan kedaulatan dan integriti wilayah China.

Pada awal Ogos, Timbalan Menteri Luar Taiwan Yui Tah-ray berkata Lai Ching-te akan transit di New York dan San Francisco dalam perjalanan pergi dan balik dari Paraguay.

Pada 20 Julai, Agensi Berita CNA melaporkan bahawa China menganggap usaha untuk menghalang persinggahan transit Lai di AS itu sebagai keutamaannya kerana mendakwa mereka (Taiwan) telah mengambil tindakan yang bahaya".

Pada April, Parti Progresif Demokratik Taiwan secara rasmi mencalonkan Lai, yang juga pengerusi parti, sebagai calon untuk pilihan raya presiden 2024.

Presiden Taiwan Tsai Ing-wen, tidak boleh bertanding semula untuk jawatan itu kerana telah berkhidmat dua penggal berturut-turut.

-- BERNAMA