NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) perlu segera bertindak dan bersatu dalam mendesak gencatan senjata di Semenanjung Gaza direalisasikan bagi meredakan ketegangan antara Lubnan dan Israel, menghentikan keganasan serta mengelakkan konflik daripada merebak, menurut Wakil Tetap China ke PBB, Fu Cong.

Fu semasa mesyuarat tergempar UNSC berhubung situasi Lubnan-Israel pada Selasa turut menggesa pelbagai pihak yang terbabit kembali ke landasan penyelesaian konflik melalui saluran politik dan diplomatik.

"China menyokong pendirian PBB berhubung sebarang tindakan Israel yang menyerbu masuk ke wilayah Lubnan dianggap sebagai pelanggaran terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Lubnan yang bertentangan dengan Resolusi 1701 UNSC," kata Fu.

Fu menyatakan bahawa konflik di Gaza itu telah menyebabkan malapetaka kemanusiaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Menurut beliau, China menyeru semua pihak yang terlibat dalam konflik untuk menegakkan garis merah undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan memastikan keselamatan orang awam terjamin.

"China menyokong usaha yang dijalankan di bawah sistem kemanusiaan PBB untuk mengambil tindakan kecemasan untuk meredakan ketegangan situasi kemanusiaan di Palestin dan Lubnan.

"China berharap negara kuasa besar yang berpengaruh di rantau itu mengambil sikap yang ikhlas dan bertanggungjawab, serta tindakan yang tulen untuk memainkan peranan yang bersifat membina bagi mengelakkan situasi daripada meruncing lagi," katanya.

--BERNAMA-CMG