NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menyeru kemajuan muktamad ke arah penyelesaian dua negara serta gencatan senjata di Gaza, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung pada Sesi Umum ke-19 Perhimpunan Parlimen Mediterranean di Rome malam tadi, Guterres menekankan keperluan mendesak untuk mencapai keamanan dan kestabilan di Asia Barat.

Beliau turut menyatakan bahawa rantau itu sedang mengalami perubahan besar, namun hala tuju masa depan masih belum jelas.

Ketua PBB itu menambah bahawa tanggungjawab kini terletak pada masyarakat antarabangsa untuk memastikan penduduk Asia Barat dapat menghadapi cabaran ini dengan aman, bermaruah, dan harapan baharu berdasarkan tindakan yang nyata.

Beliau turut menyoroti perubahan mendalam yang sedang berlaku di rantau itu, yang menghadapi ketidaktentuan tetapi juga peluang untuk perubahan.

-- BERNAMA