Pengeluar ikan salmon terbesar di Norway berdepan kesukaran memasuki pasaran China susulan dakwaan bahawa China telah memboikot import ikan itu.

Langkah itu dipercayai diambil China ekoran laporan media berhubung dakwaan virus COVID-19 dikesan pada papan cincang yang digunakan peniaga di sebuah pasar di Beijing.

Media tempatan turut melaporkan kebanyakan peniaga di pasar besar di Beijing mengeluarkan semua stok ikan salmon dari rak jualan mereka, lapor stuff.co.nz.

Pasar borong besar di Beijing ditutup susulan kes baharu COVID-19

Pengurus Makanan Laut Norway (NSC) Anders Snellingen berkata tempahan telah dibatalkan dan bakal melihat kesukaran untuk memasuki pasaran import ikan salmon ke Beijing dalam masa terdekat.

Memetik Bloomberg, kesan sama turut dirasai oleh negara pengimport terbesar lain termasuk Denmark dan Australia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagaimanapun menyifatkan dakwaan virus pada ikan salmon bukanlah teori utama, selain mencadangkan supaya penyelidikan lanjut dibuat.

Kerajaan Norway ketika menghubungi pihak berkuasa China berhubung isu berkenaan walau bagaimanapun mendapati tiada sebarang arahan boikot dibuat terhadap pasaran importnya.

Lembaga Keselamatan Makanan Norway dalam kenyataan juga mengesahkan produk ikan dan makanan lautnya adalah selamat untuk dimakan.

“Belum ada kes jangkitan COVID-19 berpunca dari makanan yang tercemar,” kata kenyataan.

Pihak berkuasa Beijing pada Rabu bertindak menutup semua sekolah serta-merta susulan kebimbangan kerajaan China berhubung kluster baharu COVID-19 yang dipercayai berpunca dari sebuah pasar di Xinfadi.

Semua sekolah di Beijing diarah tutup susulan ancaman gelombang kedua COVID-19

Susulan itu, kira-kira 10,000 individu di pasar berkenaan diarahkan menjalani ujian saringan.

Beijing turut bertindak menghentikan perdagangan daging lembu dan daging kambing di pasar Xinfadi selain penutupan pasar borong lain di sekitar bandar itu.