Keindahan alam semula jadi di kawasan pantai sekitar Batu Ferringhi, kekayaan warisan budaya dan keunikan masakan tempatan menjadikan Pulau Mutiara itu sebagai destinasi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara.
Tinjauan Bernama mendapati pelancong mula membanjiri negeri ini sempena musim cuti sekolah dan ditambah cuti Hari Krismas yang turut menyaksikan restoran nasi kandar menjadi tumpuan ramai.
Malah, Jambatan Pulau Pinang serta jalan-jalan utama di kawasan pulau terutama George Town dan Batu Ferringhi sesak dengan kenderaan.
Lokasi seperti Jeti Chew yang juga dikenali sebagai Tan Jetty iaitu perkampungan kecil nelayan yang dibina atas air, Armenian Street, Bukit Bendera dan Padang Kota turut menjadi tumpuan para pengunjung.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang Datuk Tony Goh berkata kadar tempahan hotel di negeri ini, khususnya di kawasan pusat bandar dan Batu Ferringhi mencapai 90 peratus hingga 100 peratus dalam tempoh 10 hari sejak Jumaat lepas.
"Hotel-hotel di kawasan pantai dan pusat bandar menerima sambutan menggalakkan ... dan kehadiran pelancong domestik meningkat, ini memberikan impak positif kepada industri pelancongan tempatan.
"Pelancong asing pula seperti dari China, Indonesia dan Macau menunjukkan aliran kemasukan yang konsisten," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Pulau Pinang Clement Liang berkata pihaknya turut menerima permintaan tinggi daripada pelancong terutama pengembara yang menggunakan kapal persiaran.
Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan pihaknya mempergiat pemantauan lalu lintas di sekitar George Town dan kawasan tumpuan pelancong.
MBPP juga meminta pengguna lalu lintas mematuhi isyarat dan peraturan serta meletakkan kenderaan di dalam kawasan tempat letak kereta yang sah bagi mengelak tindakan undang-undang.
-- BERNAMA