IMPAK kecerdasan buatan (AI) pada institusi pendidikan sudah dapat dilihat dengan pelajar mengambil jalan pintar mengarahkan ChatGPT menulis kertas kerja yang diberikan sebagai tugasan.

Tetapi penggunaan AI dalam bidang pendidikan tidak seharusnya dilihat negatif sepanjang masa. OpenAI hari ini mengumumkan ChatGPT Edu khusus untuk kegunaan di universiti.

ChatGPT Edu dibangunkan selepas melihat bagaimana ChatGPT Enterprises digunakan oleh institusi pendidikan seperti University of Oxford, Wharton School of the University of Pennsylvania, University of Texas at Austin, Arizona State University dan Columbia University.

Terdapat ruang menggunakan kemampuan ChatGPT untuk membantu pembelajaran dalam kelas menerusi ringkasan yang lebih mendalam.

Pelajar juga boleh berbual dengan ChatGPT untuk melakukan perbincangan dengannya.

Pengguna ChatGPT Edu diberikan akses kepada model GPT-4o yang boleh mengenal pasti teks, melakukan pengaturcaraan dan perkiraan matematik.

Ia juga boleh melakukan ringkasan analisa data, dokumen dan laman web. Seterusnya ia mempunyai had penggunaan lebih tinggi berbanding ChatGPT versi percuma.

Kemampuan menghasilkan GPTs sendiri untuk kegunaan khusus turut diberikan.

Akhir sekali kesemua data ChatGPT Edu tidak akan digunakan untuk latihan model di OpenAI -Amanz