LONDON: McDonald's akan menamatkan penggunaan alat pesanan berkuasa AI di restoran pandu lalu di Amerika Syarikat selepas pelanggan berkongsi pengalaman kegagalan teknologi itu secara dalam talian.

Sistem yang dibangunkan IBM ini menggunakan pengecaman suara bagi memproses pesanan dan telah digunakan di lebih 100 restoran McDonald's sejak kali pertama diperkenalkan pada 2021 sebagai sebahagian daripada percubaan.

Namun, kebolehpercayaan sistem itu dipersoalkan selepas beberapa video dan hantaran dalam talian memperincikan kesilapan tempahan seperti bakon ditambah ke dalam aiskrim dan nuget ayam bernilai ratusan dollar ditambah pada pesanan, lapor PA Media.

McDonald's kemudian mengarahkan rangkaian francaisnya untuk menamatkan penggunaan teknologi itu menjelang akhir Julai dan tidak akan melanjutkan percubaan itu.

Dalam satu kenyataan, gergasi makanan AS itu berkata: "Walaupun terdapat kejayaan setakat ini, kami merasakan ada peluang untuk meneroka penyelesaian bagi pesanan suara dengan lebih meluas.

"Selepas kajian teliti, McDonald's memutuskan untuk menamatkan kerjasama dengan IBM dalam AOT (automated order taking) dan teknologi itu akan ditamatkan di semua restoran yang sedang mengujinya selewat-lewatnya pada 26 Julai 2024."

Ujian ini diadakan di tengah-tengah kebimbangan sesetengah pihak mengenai potensi impak kecerdasan buatan terhadap peluang pekerjaan, mengubah persekitaran tempat kerja dan pasaran pekerjaan.

-- BERNAMA