Presiden Indonesia yang baharu, Joko Widodo telah melakukan lebih daripada janji perubahan seperti yang biasa dilakukan oleh pemimpin politik dalam kempen pilihan raya.

Bagi kebanyakan pengundinya, anak tukang kayu yang jadi presiden ini mewakili harapan mereka untuk negara.

Bagaimanapun, menurut penganalisis, peluangnya untuk memenuhi harapan tinggi itu tipis.

"Euforia yang menyambut kemenangannya tidak sama dengan realiti," kata Tobias Basuki dari Pusat Kajian Antarabangsa dan Strategik di Jakarta.

"Beliau telah mencapai banyak hal sebagai Gabenor Jakarta dan Datuk Bandar Solo, tetapi politik nasional itu satu perkara yang baharu."

Dalam peranannya sebelum ini dalam politik tempatan, Joko dihargai kerana menyelaraskan birokrasi dan meningkatkan perkhidmatan awam termasuk kemudahan rawatan kesihatan percuma.

Joko, 53, yang dikenali mahir mengelak diri daripada kepungan kuasa dan cukup senang bergaul dengan rakyat, menang tipis Pilihan Raya Presiden pada Julai lepas dengan mengalahkan pesaingnya, Prabowo Subianto.

Tetapi "kerjayanya sebelum ini tidak menyiapkan beliau untuk menghadapi cabaran politik yang datang dengan agenda pembaharuan yang mahu beliau lakukan," kata Liam Gammon, penganalisis Indonesia di Universiti Nasional Australia.

"Beliau memegang jawatan ini dengan azam yang nampaknya mahu menggoncang banyak perkara," katanya.

"Persoalan besar ialah apakah beliau ada kemahiran politik untuk mengatasi penentangan daripada pihak yang berkepentingan terhadap pembaharuan itu dan mengambil risiko menjejaskan populariti yang jadi aset utama politiknya."

Joko berjanji mahu mencapai pertumbuhan ekonomi 7 peratus atau lebih serta menyediakan 10 juta pekerjaan baru, pendidikan percuma selama 12 tahun untuk kanak-kanak serta tanah pertanian kepada 4.5 juta keluarga.

"Saya berjanji sekiranya saya dan Jusuf Kalla diberi penghormatan untuk jadi presiden dan naib presiden, kami akan bekerja keras setiap hari," kata Joko kepada penyokongnya dalam satu kempen pilihan raya.

Halangan utama yang beliau akan hadapi datangnya daripada dalam dan bersifat politik.

Dengan 63 peratus daripada 560 kerusi di Parlimen dikuasai parti yang memihak kepada Prabowo, Joko akan berdepan jalan sukar untuk melaksanakan program pembaharuannya melalui Parlimen.

"Sekiranya beliau tidak berjaya menarik lebih banyak parti untuk menyertai pakatannya, Jokowi akan berdepan dengan tentangan dalam setiap langkah signifikan," kata Ulla Fionna dan Francis E. Hutchinson dalam satu makalah terbitan Institut Kajian Asia Tenggara di Singapura.

Malah, masalah Joko dengan Parlimen sudah bermula. Parti Demokratik Indonesia Perjuangan yang dianggotainya gagal menyekat kelulusan rang undang-undang yang membatalkan pemilihan langsung pemimpin daerah -- sistem pemilihan yang mengangkat Joko ke persada politik.

Dalam bidang ekonomi, pakar mengingatkan keputusan sukar untuk mengurangkan kos subsidi minyak yang akan menaikkan harga di stesen minyak serta membaik pulih infrastruktur untuk mendukung janji pertumbuhan 7 peratus.

Indonesia, negara ekonomi terbesar Asia Tenggara dan anggota kumpulan G20, telah menyaksikan penguncupan pertumbuhan ekonomi daripada lebih 6 peratus kepada sekitar 5 peratus pada tahun lalu.

"Banyak pihak yang bimbang dengan kurangnya pengalaman beliau dalam politik nasional, tetapi harus diingat bahawa beliau membangunkan perniagaan bernilai jutaan dolar dan menerajui sebuah kota bersaiz sederhana untuk beberapa tahun. Jadi, beliau bukan seorang amatur," kata Gammon.

"Masalahnya ialah dengan gambaran besar. Ekonomi Indonesia masa kini curiga dengan perdagangan bebas dan pelaburan asing serta menyokong negara memainkan peranan lebih besar dalam ekonomi."

Harapan dalam dasar luar pula agak kendur. Penganalisis meramalkan diplomasi yang lebih melihat ke dalam, selaras dengan manifesto kempennya.

Menurut Budiman Sudjatmiko, ahli parlimen daripada PDI-P yang juga bekas anggota pasukan kempen Joko, Presiden baru ini mahu menjadikan Indonesia sebagai kuasa maritim.

"Kepentingan nasional adalah satu keutamaan tetapi sebagai sebuah negara besar, kami boleh memainkan peranan antarabangsa yang besar dan tidak hanya jadi pengikut kepada kuasa besar," katanya.