SEORANG kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mati dibunuh bapa kandungnya ketika sedang nyenyak tidur.


Ringkasan AI
  • Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dibunuh oleh bapa kandungnya ketika sedang tidur di rumah mereka di Kampung Cibarugbug, Kabupaten Serang.
  • Ibu mangsa, Herawati, terbangun selepas terkena percikan darah dan melihat suaminya memegang parang berlumuran darah, kemudian suaminya melarikan diri.
  • Polis kini sedang giat memburu pelaku yang dipercayai mengalami gangguan jiwa dan menyembunyikan diri setelah kejadian tersebut.


Mangsa dibunuh suspek berusia 30 tahun yang dikenali sebagai Agus, di rumah mereka di Kampung Cibarugbug, Desa Citaman, Kecamatan Ciomas, Kabupaten Serang pada Selasa.

Kejadian berlaku ketika mangsa, ibu dan pelaku sedang tidur bertiga di bilik tidur.

Menurut ibu mangsa, Herawati, 26, yang juga saksi utama kejadian, dia terkejut selepas percikan darah terkena ke badannya.

"Saya terbangun selepas merasakan terkena percikan 'sesuatu', tatkala itu saya melihat suami memegang sebilah parang dan tangannya berlumuran darah, melihat saya tersedar suami lantas pergi," katanya lapor iNews Banten.

Dalam kejadian terbabit, kanak-kanak malang itu dipercayai dikelar lehernya sehingga meninggal dunia di tempat kejadian.

Jelas Herawati, selepas tersedar dan melihat keadaan anaknya, dia terus membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Ciomas.

Bagaimanapun, anaknya ketika itu sudah meninggal dunia.

Sementara itu, polis kini giat memburu pelaku yang dipercayai menyembunyikan diri setelah kejadian berkenaan.

"Kami masih memburu pelaku, maklumat yang kami peroleh daripada keluarga mangsa, dan penduduk setempat bahawa dia mengalami gangguan jiwa, " kata Ketua Polis Kecamatan Ciomas, Iptu Fridy. - Sinar Harian/ Agensi