OVIEDO: Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU) yang akan bersara, Josep Borrell berkata pada Jumaat bahawa beliau meninggalkan Brussels "dengan perasaan kecewa yang amat sangat" berikutan "ketidakmampuan untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai" di Gaza.

Borrell, dalam wawancara rasmi terakhirnya sebagai wakil tertinggi EU untuk hal ehwal luar, menggambarkan situasi di Gaza kepada penyiar Sepanyol RNE sebagai "Dantean," merujuk kepada "pemandangan neraka" yang digambarkan oleh penulis Itali, Dante, lapor Agensi Anadolu.

"Terdapat 250,000 orang di utara yang tidak lagi dibekalkan oleh PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) kerana mereka tidak dapat memasuki kawasan itu dan tidak dapat menawarkan apa-apa kepada mereka. Keadaan keselamatan sangat buruk. Jadi, apa yang akan berlaku? Mereka akan mati akibat kelaparan, penyakit, dan ditinggalkan," kata Borrell.

Beliau berkata: "Dunia tidak sedar apa yang berlaku di sana. Dan kami yang sedar, tidak dapat membuka pintu untuk membawa bantuan supaya mereka ini boleh terus hidup."

Ahli politik Sepanyol yang menjadi diplomat utama EU pada Disember 2019 itu berkata, dunia telah menjadi "lebih teruk" sejak beliau menggalas tanggungjawab berkenaan.

Selain daripada ketidakmampuan untuk menghentikan serangan ke atas Gaza, beliau turut menekankan ketegangan yang semakin meningkat di seluruh Timur Tengah, terutamanya antara Israel dan Iran.

"Ia kelihatan baik buat masa ini, tetapi ia adalah sebuah tong serbuk letupan di mana sesuatu yang lebih serius boleh berlaku," katanya.

Satu-satunya titik positif yang disebutnya adalah gencatan senjata Lubnan yang berkuat kuasa pada Rabu, meskipun beliau memberi amaran ia "sangat rapuh" kerana Israel, yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS), mempunyai hak untuk campur tangan jika sesuatu tidak berjalan mengikut kehendak mereka.

Borrell juga menggambarkan situasi di Ukraine sebagai "semakin buruk" dan berkata beliau pesimis bahawa Presiden Terpilih AS, Donald Trump, akan memperbaikinya.

"Semua orang berkata bahawa Trump fikir dia akan menamatkan perang dengan cepat, tetapi saya tidak dapat memikirkan cara lain untuk menamatkan perang dengan cepat kecuali dengan menghentikan bantuan kepada Ukraine dan bersetuju dengan Kremlin," katanya.

Borrell menekankan bahawa Ukraine hanya mampu mempertahankan diri selagi sekutunya terus memberi sokongan.

"Jika anda berhenti membantu Ukraine, perang akan tamat, dan anda akan melihat kereta kebal Rusia di Kyiv, tentera Rusia di sempadan Poland, rakyat Ukraine diusir ke Siberia dan perubahan rejim di Kyiv," katanya.

"Saya tidak mahu ini menjadi cara kita menamatkan perang ini, dan orang Ukraine lebih-lebih lagi. Jika Trump mempunyai penyelesaian lain, saya tidak tahu. Tiada siapa yang tahu," katanya.

Ditanya jika beliau mempunyai sebarang nasihat untuk penggantinya, Kaja Kallas, bekas Perdana Menteri Estonia, beliau berkata tidak kerana Kallas membawa "pengalaman yang lebih daripada cukup".

Beliau memuji rancangan Kallas untuk melawat Ukraine sebagai tindakan rasmi pertamanya, namun menambah bahawa penggantinya itu perlu memberi perhatian kepada perkembangan global.

Borrell berkata, orang Eropah tidak lagi boleh menganggap diri mereka sebagai "tumpuan dunia" kerana mereka hanya mewakili lima peratus daripada populasi global, mempunyai kekuatan ekonomi yang semakin berkurangan, kadar kelahiran yang rendah dan pertahanan yang lemah.

"Perang di Ukraine membantu kita bangun. Tetapi kadang-kadang kita bangun, berpusing, dan kembali tidur. Ia bukan tentang bangun, ia tentang bangkit daripada katil dan pergi bekerja kerana masa yang mencabar dan kedudukan Eropah adalah rapuh," katanya.

Mengenai dirinya, Borrell berkata beliau perlu membiasakan diri dengan masa lapang sekali lagi.

Pada usia 77 tahun, beliau berkata beliau akan memberi keutamaan untuk "belajar semula" membaca buku yang tebal secara perlahan dan pergi berjalan-jalan.

"Saya perlu membina semula tubuh badan dan minda saya," katanya.

-- BERNAMA