ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Isnin, 14 Februari 2022.

1. Wisma Putra bantu 13 rakyat Malaysia terkandas di lapangan terbang Manila

Kedutaan Malaysia di Manila kini dalam usaha membantu menyelesaikan isu 13 rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino selepas sijil vaksinasi COVID-19 digital Malaysia tidak diiktiraf pihak berkuasa Filipina.

2. 'Petting zoo' jadi tarikan kanak-kanak, remaja dapatkan vaksin di England

Kambing biri-biri Shetland yang dinamakan Lashes, Cumin, Coriander, Clove and Cardamom, menyambut kehadiran mereka mendapatkan vaksin di Kolej Nescot di Surrey, hujung minggu lepas.

3. Semua rakyat Malaysia dinasihatkan daftar dengan kedutaan di Kiev, Ukraine

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri menjelaskan, ini akan memudahkan pihak Kedutaan untuk menghulurkan bantuan konsular sebaik sahaja mereka memerlukan bantuan sedemikian.

4. Perbicaraan 1MDB bekas pegawai Goldman Sachs bermula hari ini

Perbicaraan ini membuka tirai dengan pemilihan juri bagi mendengar kes terhadap pegawai bank terbabit, Ng Chong Hwa atau lebih dikenali sebagai Roger Ng, yang berdepan dengan tiga pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

5. Karzai desak AS pertimbang semula keputusan mengenai aset Afghanistan

Bekas Presiden Afghanistan Hamid Karzai pada Ahad menggesa Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mempertimbangkan semula keputusan memperuntukkan US$3.5 bilion daripada US$7 bilion aset beku Afghanistan.

6. Kementerian Luar Jepun pindahkan kakitangan diplomatik dari Ukraine

Kedutaan Jepun di Kiev hanya akan menawarkan perkhidmatan terhad selepas kakitangan diplomatik dipindahkan, menurut kementerian pada Ahad.

7. Singapura nasihat rakyatnya tinggalkan Ukraine secepat mungkin

Singapura menasihatkan rakyatnya meninggalkan Ukraine secepat mungkin berikutan ketegangan di negara itu dan wilayah sekitarnya semakin memuncak.

8. Sekurang-kurangnya 4 maut, 22 cedera nahas bas di Bolivia

Sekurang-kurangnya empat terbunuh manakala 22 cedera selepas sebuah bas terjatuh ke dalam gaung dalam nahas jalan raya di Chuquisaca, selatan Bolivia.

9. Pele kembali ke hospital jalani rawatan susulan

Lagenda bola sepak Brazil, Pele dimasukkan semula ke hospital pada Ahad bagi menjalani rawatan susulan penemuan tumor pada ususnya.

10. Protes Pemandu Trak: Polis Kanada mula tangkap peserta demonstrasi

Polis Kanada bertindak membersihkan dan menangkap baki penunjuk perasaan berhampiran sempadan Amerika Syarikat-Kanada bagi menamatkan demonstrasi menentang sekatan COVID-19 yang telah menjejaskan ekonomi kedua-dua negara.