ATHENS: Bekas Perdana Menteri Greece Konstantinos Simitis, yang dikenali sebagai perintis dalam membawa negara Eropah Tenggara itu menyertai zon euro telah meninggal dunia pada usia 88 tahun.

Perkara itu diumumkan Menteri Kesihatan Greece Adonis Georgiadis menerusi hantaran di platform media sosial X pada pagi Ahad, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Simitis seorang ahli politik Demokrat Sosial berkhidmat sebagai Perdana Menteri Greece dari 1996 hingga 2004.

Semasa memegang jawatan itu, beliau berusaha memodenkan Greece dan mengurangkan kerenah birokrasi dengan cogan kata, "pemodenan tidak mempunyai tarikh luput," menurut kenyataan di laman sesawang Simitis.

Dilahirkan pada 23 Jun 1936 di bandar pelabuhan Piraeus, Simitis melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Jerman dan sains ekonomi di Britain.

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai profesor undang-undang di beberapa universiti di Jerman dan aktif dalam gerakan penentangan semasa pemerintahan diktator Greece dari 1967 hingga 1974, yang menyaksikan negara itu dikuasai junta tentera berhaluan kanan.

-- BERNAMA