KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap hukuman penjara 12 bulan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi minggu lalu.


Ringkasan AI
  • Hukuman penjara 12 bulan: Bekas Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran, memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap hukuman penjara 12 bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi.
  • Pengakuan bersalah: Iswaran mengaku bersalah atas empat pertuduhan memperoleh barangan berharga sebagai penjawat awam dan satu pertuduhan menghalang keadilan, dengan nilai hadiah berjumlah S$403,297.92.
  • Pertukaran pertuduhan: Pendakwaan mengubah pertuduhan Iswaran kepada Seksyen 165 Kanun Keseksaan mengenai penerimaan hadiah oleh penjawat awam, dan beliau menerima hukuman ini sebagai satu kesalahan semasa menjadi menteri.


Memetik laporan CNA, tertuduh yang berusia 62 tahun itu tiba di  Mahkamah Negara Singapura hari ini, lebih awal daripada masa yang diberikan untuk memulakan hukuman penjara.

Dia yang berbaju kemeja lengan pendek berwarna biru gelap tiba dengan menaiki kenderaan jenis Toyota Alphard kira-kira jam 3.30 petang.

Sebelum ini, Iswaran mengaku bersalah atas empat pertuduhan memperoleh barangan berharga sebagai penjawat awam dan satu pertuduhan menghalang keadilan.

Dia didakwa menerima hadiah berharga berjumlah S$403,297.92, termasuk 10 tiket Grand Prix Formula 1 Singapura, tiket penerbangan kelas perniagaan dan penginapan hotel di Doha.

Sementara itu, Iswaran dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan pendakwa raya mengubah pertuduhan terhadapnya di bawah Akta Pencegahan Rasuah (PCA) kepada Seksyen 165 Kanun Keseksaan berkenaan penerimaan hadiah oleh penjawat awam.

"Saya terima bahawa sebagai seorang menteri, apa yang saya lakukan adalah salah di bawah Seksyen 165.

"Dengan keputusan ini, saya berharap kita dapat meninggalkan kesakitan dan penderitaan ini, terus melangkah ke hadapan dan membina semula kehidupan bersama," katanya dalam hantaran tersebut, hari ini.

Iswaran dalam kenyataan sama turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah berdiri teguh di sisinya dan membantu menghadapi masa yang disifatkan sebagai paling gelap.