SINGAPURA: Bekas Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Tinggi kerana memperoleh hadiah bernilai kira-kira S$403,300 (RM1.3 juta) dalam tempoh tujuh tahun, daripada dua ahli perniagaan yang dianggap rakannya.

Lelaki berusia 62 tahun itu dihukum penjara 12 bulan pada Khamis selepas beliau mengaku bersalah pada hari pertama prosiding perbicaraan sekalis gus memendekkan perbicaraan yang sepatutnya melibatkan 56 saksi pendakwaan.

Hakim Vincent Hoong berkata, beliau telah mempertimbangkan hujahan mengenai hukuman daripada kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan tetapi "akhirnya tidak dapat bersetuju dengan kedua-dua pendirian yang diambil."

Peguam utama Iswaran, Davinder Singh telah berhujah untuk tidak lebih daripada lapan minggu penjara, manakala Timbalan Peguam Negara, Tai Wei Shyong memohon hukuman penjara enam hingga tujuh bulan.

"Saya berpendapat adalah wajar untuk menjatuhkan hukuman yang melebihi kedudukan kedua-dua pihak," kata Hakim Hoong sambil menambah bahawa mengambil penghujahan sama ada pendakwaan atau pembelaan akan mengakibatkan "hukuman yang nyata tidak mencukupi."

Hakim Hoong menggariskan beberapa faktor yang memburukkan keadaan seperti tempoh keseluruhan kesalahan Iswaran, jawatan tertinggi yang dicapainya dalam kerajaan dan kemudaratan keseluruhan kepentingan awam serta kepercayaan terhadap institusi awam.

Peguam Iswaran memohon hukuman penjara ditangguhkan kepada 7 Okt dan Iswaran menyerah diri pada 4 petang di Mahkamah Negeri hari itu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, ini tertakluk kepada pihak pembelaan yang mengambil arahan daripada Iswaran, merujuk kepada kemungkinan rayuan.

Hukuman itu dibuat lebih setahun selepas butiran siasatan oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) mula terbongkar dan 10 bulan selepas Iswaran pertama kali didakwa di mahkamah.

Iswaran meletakkan jawatan pada Januari dan membuat secara sukarela memulangkan S$380,305.95 (RM1.23 juta) kepada kerajaan sehari sebelum perbicaraan yang dijadualkan pada 24 September.

Ini merujuk kepada penyerahan keuntungan yang diperoleh secara tidak sah, yang berbeza daripada pembayaran balik.

Pihak berkuasa turut merampas botol wiski dan wain, kayu golf serta sebuah basikal Brompton daripadanya.

Antara November 2015 dan Disember 2022, Iswaran didakwa memperoleh barangan berharga seperti tiket muzik, bola sepak dan Formula 1 daripada pemegang saham majoriti Singapore GP, Ong Beng Seng, serta botol wiski dan wain daripada bos syarikat pembinaan Lum Kok Seng.

Beliau menerima hadiah-hadiah tersebut ketika memegang portfolio yang mempunyai urusan rasmi dengan kedua-dua lelaki itu, kata pihak pendakwa raya.

Syarikat milik Lum iaitu Lum Chang Building Contractors memeterai kontrak bernilai S$325 juta (RM1.05 bilion) dengan Penguasa Pengangkutan Darat pada 2016 untuk kerja-kerja di Stesen MRT Tanah Merah dan jejambatnya.

Iswaran merupakan Menteri Pengangkutan pada Mei 2021.

Sementara Ong pua dikaitkan dengan dua perjanjian pemudahan antara Singapore GP dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) untuk mengendalikan perlumbaan tahunan Formula 1 Singapura.

Iswaran ialah Pengerusi Jawatankuasa Pemandu F1, yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menyelia F1 sebagai projek nasional.

Beliau juga Menteri Industri di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian dari Oktober 2015 dan April 2018, dengan STB di bawahnya.

Iswaran merupakan menteri yang bertanggungjawab dalam hubungan perdagangan dari Mei 2018 hingga Januari 2024 apabila beliau meletakkan jawatan.

Pihak pendakwaan bagaimana menerima bahawa Iswaran tidak campur tangan dalam sebarang keputusan yang berkaitan dengan kontrak syarikat Lum dan bahawa "tiada apa-apa yang menunjukkan bahawa kontrak F1 telah distrukturkan untuk merugikan kerajaan."

Kes itu terbongkar pada Mei 2023 apabila CPIB menyiasat perkara berasingan yang dikaitkan dengan rakan sekutu Ong dan menemui manifes penerbangan untuk penerbangan keluar dengan jet peribadi Ong.

Iswaran dikenal pasti berada dalam penerbangan bernilai S$10,410 (RM33,880) itu dari Singapura ke Doha pada 10 Dis 2022.

Perjalanan tersebut, termasuk penginapan semalaman di Four Seasons Hotel Doha dan penerbangan kelas perniagaan untuk pulang, dibiayai oleh Singapore GP atas arahan Ong.

Iswaran tidak melaporkan perjalanan itu kepada kerajaan. Beliau memohon cuti kecemasan peribadi untuk menyertainya sebagai tetamu atas jemputan Ong.

Apabila Ong mendapat berita mengenai rampasan senarai penumpang penerbangan oleh CPIB, beliau menghubungi Iswaran dan memberitahunya mengenai perkara itu.

Iswaran kemudian meminta Ong supaya Singapore GP menghantar bil kepadanya untuk perbelanjaan perjalanan dan kemudian membayar S$5,700 (RM18,500) untuk penerbangan pulang.

Tindakan Iswaran meminta Singapore GP menghantar bil selepas mendapat tahu mengenai siasatan CPIB dan kemudian membayar sebahagian kos penerbangan dianggap sebagai usaha untuk menyembunyikan perbuatan asalnya, sekali gus menghalang proses keadilan. - CNA