SINGAPURA: Bekas Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran sudah kembali semula ke tanah air dan turut menyerahkan pasport miliknya kepada pihak berkuasa, menurut jurucakap Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Rabu.

Iswaran diarahkan pulang ke Singapura pada Selasa selepas beliau sepatutnya menghadiri prosiding di Mahkamah Tinggi, namun ia telah ditangguhkan pada 2 April depan.

Beliau yang dibebaskan dengan ikat jamin berdepan lebih 20 pertuduhan termasuk dua kes rasuah diberi kebenaran untuk menguruskan hal kemasukan anak lelakinya ke universiti di Australia antara 16 Februari dan 4 Mac lalu.

Iswaran bagaimanapun jatuh sakit ketika berada di luar negara dan tempoh tersebut dilanjutkan selama 16 hari.


Di bawah tempoh pelanjutan itu, Iswaran masih perlu melaporkan diri kepada pegawai penyiasat pada setiap hari melalui panggilan video.

Selepas berdepan siri dakwaan pada 18 Januari lalu, beliau mengaku tidak bersalah terhadap kesemua 27 pertuduhan tersebut.

Antaranya adalah tuduhan rasuah melibatkan pemberian wang suapan oleh bilionair, Ong Beng Seng yang memegang hak Singapore Grand Prix ketika Iswaran menjadi 'orang penting' untuk acara Formula 1 tersebut. - Agensi

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian