KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap hukuman penjara 12 bulan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi minggu lalu.

Iswaran, mengaku bersalah atas empat pertuduhan memperoleh barangan berharga sebagai penjawat awam dan satu pertuduhan menghalang keadilan, dan dijadualkan menyerah diri pada 4 petang Isnin untuk memulakan hukuman penjara.

Iswaran, 62, dalam satu kenyataan berkata dia bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakannya dan memohon maaf tanpa syarat kepada seluruh rakyat Singapura.

"Bagi saya, adalah penting Pendakwa Raya mengubah pertuduhan terhadap saya di bawah Akta Pencegahan Rasuah (PCA) kepada Seksyen 165 Kanun Keseksaan berkenaan penerimaan hadiah oleh penjawat awam.

"Saya terima bahawa sebagai seorang Menteri, apa yang saya lakukan adalah salah di bawah Seksyen 165.

"Dengan keputusan ini, saya berharap kita dapat meninggalkan kesakitan dan penderitaan ini, terus melangkah ke hadapan dan membina semula kehidupan bersama," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Iswaran pada mulanya menghadapi 35 pertuduhan lain termasuk dua di bawah PCA.

Pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah pada hari pertama perbicaraan bahawa mereka akan meneruskan lima pertuduhan, manakala pertuduhan di bawah PCA digantikan dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Sebanyak 30 lagi pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan turut diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.

Iswaran didakwa menerima hadiah berharga berjumlah S$403,297.92, termasuk 10 tiket Grand Prix Formula 1 Singapura, tiket penerbangan kelas perniagaan, dan penginapan hotel di Doha.

Pertuduhan menghalang keadilan pula berkaitan dengan bayaran balik S$5,700 yang dibayar Iswaran kepada Singapore GP Pte Ltd bagi kos tiket penerbangan kelas perniagaan dari Doha ke Singapura yang digunakannya pada 2022.

-- BERNAMA