BEIJING: Kawasan perbandaran Beijing mengalami lebih banyak salji pada Khamis dengan gelombang sejuk dijangka melanda ibu negara China itu pada Jumaat, lapor Xinhua.

Menurut Balai Cerap Meteorologi Beijing, purata hujan di bandar raya itu dari 5 pagi hingga tengah malam Rabu sebanyak 2.7 mm dengan purata 3.1 mm di pusat bandar.

Pada Khamis, salji sederhana hingga lebat diramalkan pada waktu siang.

Ramalan cuaca juga menunjukkan bahawa suhu tertinggi di bandar pada Khamis hanya -2 darjah Celsius dan yang paling rendah -5 darjah.

Selepas gelombang salji yang dijangkakan berakhir pada Jumaat, bandar raya itu akan dilanda gelombang sejuk dengan suhu minimum dijangka turun di bawah -10 darjah pada waktu malam.

Bandar itu masih diletakkan dalam amaran jingga bagi salji lebat, amaran kuning untuk jalan berais dan amaran biru untuk gelombang sejuk.

China mempunyai sistem amaran cuaca empat peringkat dengan merah mewakili amaran paling teruk, diikuti jingga, kuning dan biru.

Sekolah serta tadika di Beijing ditutup pada Rabu dan pembukaan semula kelas secara bersemuka akan diumumkan kemudian, menurut Suruhanjaya Pendidikan Perbandaran Beijing.

-- BERNAMA