NEW DELHI: Banyak negara menyuarakan kebimbangan mereka terhadap konflik genosid Israel di Gaza semasa Sidang Kemuncak Voice of Global South ketiga yang dihoskan oleh India dalam format maya pada Sabtu.

"Sebilangan besar orang menyuarakan kebimbangan mengenai Gaza. Ada yang menyebut Ukraine dalam kedua-dua perbincangan pemimpin dan menteri luar, tetapi pastinya rujukan kepada Gaza adalah lebih kerap berbanding Ukraine.

"Tumpuan utama adalah kebimbangan terhadap jumlah korban, terutamanya korban awam," kata Menteri Hal Ehwal Luar India Subrahmanyam Jaishankar, dalam sidang media selepas mesyuarat itu.

Menurut beliau, sentimen yang disuarakan ialah keadaan perlu kembali kepada gencatan senjata dan kepada rundingan.

Sidang kemuncak itu membincangkan pelbagai isu seperti reformasi tadbir urus global, beban hutang negara membangun, perubahan iklim, keselamatan makanan dan teknologi digital.

Ia melibatkan penyertaan daripada 123 negara di pelbagai peringkat, termasuk 21 ketua negara dan kerajaan serta 34 menteri luar.

Sementara itu, Jaishankar mengesahkan India tidak menjemput China dan Pakistan untuk menyertai acara itu.

-- BERNAMA