KHAIPUR: Pakistan merayu kepada masyarakat antarabangsa untuk tampil membantu negara itu yang ditimpa bencana banjir.

Rayuan dibuat Panglima Tentera, Jeneral Qamar Javed Bajwa selepas beliau melawat kawasan yang dilanda banjir di wilayah selatan Sindh.

"Negara-negara mesra dengan Pakistan juga akan tampil untuk membantu dalam masa yang memerlukan ini.

"Saya juga merayu bagi pihak kerajaan Pakistan, bagi pihak rakyat Pakistan, kepada ekspatriat kami dan rakan-rakan kami di luar negara, untuk tampil membantu mereka ini.

"Mereka yang berada dalam keadaan yang sangat-sangat sukar. Saya yakin ekspatriat kami seperti biasa tidak akan mengecewakan saudara-saudara mereka di Pakistan," katanya.

Sebelum ini Menteri Perubahan Iklim Sherry Rehman turut membuat rayuan yang sama bagi menghadapi malapetaka itu.

BACA: Pakistan minta bantuan antarabangsa hadapi bencana banjir

Banjir sejak pertengahan Jun lalu telah menjejas lebih 33 juta orang dan meragut lebih 1,000 nyawa.

Agensi kerajaan Pakistan turut melaporkan hampir sejuta rumah rosak dan lebih daripada 2 juta ekar tanaman musnah dan 149 jambatan dibawa arus.

Tentera dan pekerja penyelamat telah memindahkan penduduk yang terkandas ke kem bantuan dan menyediakan makanan kepada beribu-ribu rakyat Pakistan yang dipindahkan.

Kerajaan telah mengerahkan tentera untuk membantu pihak berkuasa awam dalam operasi menyelamat dan mengerahkan bantuan di seluruh negara.