Ringkasan AI
- Seorang lelaki di Tangerang ditahan polis selepas cuba mencederakan isterinya dengan membakar wanita itu hidup-hidup di rumah mereka di Kecamatan Cipondoh, Kota Tangerang, Banten.
- Insiden tersebut, yang dirakam oleh CCTV dan tular di media sosial, dipercayai telah dirancang oleh pelaku yang menyediakan bahan api terlebih dahulu dan menyembunyikannya di kawasan berhampiran.
- Mangsa mengalami luka di muka dan kepala meliputi 27% bahagian badannya dan sedang menerima rawatan di hospital, manakala pelaku menunggu untuk dibicarakan.
Media tempatan melaporkan kejadian yang berlaku pada Ahad lalu, turut tular di media sosial selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang merakamkan kejadian berkenaan 'bocor'.
Kejadian dipercayai berlaku di rumah pasangan berkenaan di Kecamatan Cipondoh, Kota Tangerang, Banten.
Ketua Rukun Tetanga (RT) kawasan berkenaan, Romli mendakwa insiden itu sememangnya sudah dirancang oleh pelaku.
"Jika menurut sumber kami, bahan api itu sudah disediakan oleh pelaku.
"Bagaimanapun kita tunggu dahulu hasil siasatan polis sama ada dirancang atau sebaliknya," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Jelasnya, bahan api itu disembunyikan di sebuah kawasan himpunan kayu yang tidak jauh dari lokasi kejadian.
"Saat dia bergaduh dengan isterinya, pelaku (Sulistiawan,40) langsung mengambil bahan api itu lalu dicurahkan kepada isterinya (Suci Ratna Derawati, 21) lantas dibakar menggunakan mancis," dedahnya.
Jelas Romli, kejadian itu berlaku apabila pelaku naik berang kerana menunggu isterinya yang lambat pulang setelah ke kedai fotostat.
"Difahamkan isterinya pergi ke kedai itu untuk membuat salinan dokumen.
"Mungkin pelaku beremosi dan terasa terlalu lama menunggu menyebabkan dia lantas bertindak sedemikian," katanya lagi.
Dalam kejadian malam itu menyebabkan mangsa luka di bahagian muka dan kepala hingga meliputi 27 peratus bahagian.
Mangsa kini menerima rawatan di hospital dan pelaku sedang menunggu masa untuk dibicarakan. - Sinar Harian/ Agensi