Lantaran itu sebilangan pemimpin dan badan dunia termasuk agensi-agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan kenyataan namun dilihat cenderung ke arah pro-Zionis dan seolah-olah tidak menghiraukan penderitaan rakyat Gaza.
Antara pemimpin badan dunia yang mengeluarkan kenyataan termasuk Pesuruhjaya Agung Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) Philippe Lazzarini yang menyoroti angka korban dan tebusan di Israel.
Selain itu, Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk berkata, pihaknya meratapi mangsa serangan 7 Oktober 2023 di Israel dan bersolidariti bersama semua yang menderita pada hari itu dan setiap hari sejak itu, di Israel, Palestin, Lubnan dan lain-lain.
Kata Turk, agensi itu berjanji untuk terus memperjuangkan hak kepada keamanan, keselamatan, dan keadilan, serta untuk memastikan tanggungjawab bagi semua mangsa.
Antara lain, Presiden Perancis, Emmanuel Macron pula sama sekali tidak menyentuh berkenaan penderitaan rakyat di Gaza dalam statusnya di platform X.
Beliau sebaliknya mengatakan, kesakitan itu kekal, secerah seperti setahun lalu dan kesakitan rakyat Israel adalah milik semua.
Sementara itu, Presiden Israel, Isaac Herzog berterima kasih kepada Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden yang menghubungi beliau untuk menyampaikan ucapan takziah kepada rakyat Israel sempena genap setahun konflik berlaku.
Kata Herzog, Biden menekankan kekejaman dilakukan Hamas menjadi peringatan tentang ancaman besar ditimbulkan Iran dan proksinya di rantau Asia Barat.
Kementerian Kesihatan Gaza pada Isnin melaporkan hampir 42,000 orang terbunuh di Gaza dalam tempoh setahun menghadapi kekejaman dilakukan rejim Zionis.
Lebih 60 peratus daripada mereka adalah wanita dan kanak-kanak manakala 97,303 yang lain cedera.