ZOO Shanghai memerlukan bantuan orang ramai untuk memberi nama kepada empat ekor anak harimau jenis China Selatan yang dilahirkan pada 4 Julai lalu.

Perkara itu diumumkan jurucakap zoo yang terletak di daerah Chingning itu, pada Rabu.

Ibu anak-anak harimau berkenaan, Lu Lu, dilaporkan berada dalam keadaan baik meskipun ini merupakan kali pertama ia melahirkan anak.

Lu Lu yang berusia enam tahun itu sering mengawasi anak-anaknya sehingga tidak membenarkan kakitangan zoo mendekati mereka.

Bagi memastikan ibu dan anak harimau itu kekal sihat, kakitangan zoo menyediakan susu, daging, vitamin dan tablet kalsium setiap hari.

Setelah 54 hari dalam tempoh penjagaan, berat keempat-empat anak harimau itu meningkat dua hingga lima kilogram.

China merupakan satu-satunya habitat bagi spesies harimau China Selatan.

Setakat ini, hanya kira-kira 200 ekor harimau China Selatan masih wujud.