Jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller berkata, perbincangan teliti dengan Israel itu akan diketuai Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan mengenai tindak balas terhadap serangan itu.
Miller juga tidak terlepas daripada menyebut serangan peluru berpandu balistik Iran ke atas Israel itu menyebabkan "peningkatan tekanan yang ketara" selain mengakui pasti akan ada akibatnya kelak.
“Sudah tentu mesti ada akibat untuk Iran atas serangan ini. Kami telah menjelaskan bahawa mesti ada akibatnya.
“Saya tidak akan memikirkan apa akibatnya hari ini, tetapi ia adalah perkara yang akan kami selaraskan dengan rakan sejawatan Israel kami,” kata Miller dalam taklimat media pada Selasa.
Beliau berkata, serangan peluru berpandu itu sebahagiaannya dipatahkan kerana terdapat penyelarasan antara AS, Israel dan negara sekutu lain.
Miller, bagaimanapun, tidak menyebut nama negara lain yang turut terlibat dalam penyelarasan itu.
Ditanya sama ada Israel telah melakukan sesuatu yang meruncing dalam beberapa minggu lalu, Miller berhujah Israel "sudah tentu" telah "melakukan perkara untuk melebarkan konflik.
Bagaimanpun, Miller mempertahankan tindakan Israel itu yang disifatkannya sebagai membawa “pengganas ke muka pengadilan."
Pada Jumaat lalu, Israel membunuh pemimpin kanan Hezbollah, Hassan Nasrallah dalam serangan besar-besaran di Beirut.
Namun begitu, Milker mendakwa, hari ini "Iran datang untuk mempertahankan organisasi mereka."
"Jika anda melihat apa yang Iran lakukan hari ini - kami telah memberi amaran sejak sekian lama tentang ancaman yang ditimbulkan oleh Iran membekalkan senjata dan membiayai kumpulan pejuang mereka di
seluruh Asia Barat dan serangan hari ini hanya menunjukkan bahaya di atas tindakan itu," kata Miller.
“Apa yang anda lihat ialah Iran melancarkan serangan untuk melindungi dan mempertahankan kumpulan yang telah dibina, dipupuk dan dikawalnya. Jadi ada perbezaan,” dakwa Miller lagi.
Miller juga berkata "gelombang serangan ini telah berakhir," sambil menambah beliau tidak bermaksud akan ada gelombang lain pada masa depan.
Bagaimanapun, pada pandangan AS, gelombang akan menjadi "semakin meningkat" jika Iran melakukan serangan selanjutnya di Israel. - Agensi