WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencadangkan satu visi untuk “pemilikan jangka panjang” serta pembangunan semula Gaza, satu kenyataan yang luar biasa daripada seorang Presiden AS dalam konflik berabad lamanya - terutamanya bagi seorang pemimpin yang meraih kuasa politik di AS melalui kritikannya terhadap perang berpanjangan Amerika di Asia Barat.

"Saya melihat pemilikan jangka panjang, dan saya percaya ia akan membawa kestabilan besar kepada bahagian Asia Barat itu, malah mungkin kepada seluruh rantau ini," kata Trump kepada wartawan di East Room.

Beliau meneruskan, “Ini bukan keputusan yang dibuat dengan mudah. Semua orang yang saya bincangkan mengenainya menyukai idea Amerika Syarikat memiliki tanah itu, membangunkannya, dan mencipta ribuan pekerjaan dengan sesuatu yang akan menjadi luar biasa.”

Presiden itu turut memberitahu, AS “akan mengambil alih Semenanjung Gaza, dan kami akan mengurusnya dengan baik.”

“Kami akan memilikinya dan bertanggungjawab untuk membersihkan semua bom tidak meletup dan senjata berbahaya di kawasan itu,” katanya.

“Meratakan kawasan itu, menghapuskan bangunan yang musnah, mencipta pembangunan ekonomi yang akan menyediakan peluang pekerjaan dan perumahan tanpa had kepada penduduk di kawasan itu, melakukan sesuatu yang sebenar, sesuatu yang berbeza.”

Sehubungan itu, Trump, mencadangkan penempatan semula secara kekal rakyat Palestin dari Gaza yang musnah akibat perang ke negara-negara jiran.

Beliau menyifatkan wilayah tersebut sebagai "tapak kemusnahan" dalam perbincangan penting bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada Selasa. 

Trump sekali lagi menyeru Jordan, Mesir dan negara-negara Arab lain untuk menerima penduduk Gaza, dengan alasan bahawa mereka tidak mempunyai pilihan selain meninggalkan wilayah pantai tersebut yang perlu dibangunkan semula selepas hampir 16 bulan konflik dahsyat antara Israel dan kumpulan Hamas. 

Namun, kali ini, Trump mencadangkan penempatan semula secara kekal, berbanding saranannya sebelum ini yang telah ditolak tegas oleh pemimpin-pemimpin Arab. 

"Jika kita dapat mencari tanah yang sesuai dan membina tempat tinggal yang cantik untuk mereka dengan dana yang mencukupi, itu pasti lebih baik daripada mereka kembali ke Gaza," kata Trump sebelum ketibaan Netanyahu. 

Beliau turut menegaskan, rakyat Palestin "tidak akan mahu kembali ke Gaza" sekiranya mereka ditempatkan di rumah yang selesa serta selamat daripada ancaman maut. 

Trump menggambarkan Gaza sebagai "simbol kematian dan kehancuran" serta berpendapat penduduk Palestin perlu dipindahkan ke "pelbagai kawasan" di negara lain. 

Cadangan ini bagaimanapun mendapat tentangan hebat.

Pemimpin kanan Hamas, Sami Abu Zuhri mengecam saranan Trump sebagai "cubaan pengusiran rakyat dari tanah mereka". 

“Kami menganggap cadangan ini sebagai resipi untuk mencetuskan kekacauan dan ketegangan di rantau ini kerana rakyat Gaza tidak akan membiarkannya berlaku,” katanya. 

Cadangan Trump juga mendapat kritikan dari kumpulan hak asasi manusia yang menyifatkannya sebagai usaha pembersihan etnik dan berpotensi melanggar undang-undang antarabangsa. 

Pertemuan antara Trump dan Netanyahu di White House hari ini turut membincangkan usaha mengekalkan gencatan senjata di Gaza serta perjanjian normalisasi Israel-Arab Saudi yang diharapkan dapat dicapai pada masa akan datang.

Hubungan antara kedua-dua pemimpin itu dilihat kembali rapat selepas tempoh ketegangan semasa pentadbiran Presiden Joe Biden yang sering mengkritik kematian tinggi orang awam Palestin dalam konflik Gaza. - Agensi