ANKARA: Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) pada Jumaat mengumumkan rancangan untuk memulakan kempen vaksinasi polio di Semenanjung Gaza menjelang akhir Ogos.

Pesuruhjaya UNRWA, Philippe Lazzarini melahirkan kebimbangan serius terhadap pengesahan baru-baru ini oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai kes polio di kawasan Palestin, lapor agensi Anadolu.

Kes itu melibatkan seorang bayi berusia 10 bulan yang lumpuh, menandakan kejadian polio pertama di Gaza dalam tempoh lebih 25 tahun, menurut Lazzarini.

Pegawai itu menekankan bahawa "polio tidak akan membezakan antara kanak-kanak Palestin dan Israel," dengan menyatakan bahawa "menangguhkan kegiatan kemanusiaan akan meningkatkan risiko penyebaran dalam kalangan kanak-kanak."

"Pasukan perubatan UNRWA akan menghantar vaksin di klinik kami dan melalui pasukan kesihatan bergerak kami," kata Lazzarini, sambil menyatakan bahawa "sejak perang bermula dan dengan berkat usaha itu, 80 peratus kanak-kanak di seluruh Gaza menerima vaksin terhadap pelbagai penyakit kanak-kanak."

Sementara itu, Kementerian Kesihatan di Gaza menggesa gencatan senjata untuk memastikan kejayaan kempen vaksinasi polio, kerana suntikan yang diperlukan telah mula tiba.

"Kempen vaksinasi sahaja tidak akan berkesan di tengah-tengah kekurangan air bersih, bekalan kebersihan peribadi, dan penyebaran air kumbahan antara khemah orang yang dipindahkan, selain ketiadaan persekitaran yang sihat," tambah Agensi Anadolu itu.

Polio, virus yang sangat berjangkit yang boleh menyebabkan kelumpuhan kekal dalam beberapa jam, menimbulkan ancaman khusus kepada kanak-kanak di Gaza.

Kemunculan semula polio dikaitkan dengan kemusnahan infrastruktur air dan sanitasi, ditambah dengan sekatan Israel terhadap pembaikan dan penghantaran bekalan.

Serangan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt tahun lalu mengakibatkan lebih 40,200 kematian rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 93,000 orang mengalami kecederaan, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Sekatan Gaza yang berterusan menyebabkan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk selain menyaksikan sebahagian besar wilayah itu musnah.

Israel menghadapi tuduhan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas tindakannya di Gaza. - BERNAMA