Ini merupakan sebahagian daripada pelan operasi musim Haji 2024 yang dilancarkan badan presidensi itu pada Khamis lepas.
Menurut Presiden badan bebas itu, Sheikh Dr Abdulrahman Al-Sudais pelan operasi untuk musim Haji 2024 itu adalah perancangan terbesar pernah dilakukan oleh jawatankuasa presidensi itu.
Pelan ini memberikan fokus kepada layanan kepada jemaah haji, memperkayakan pengalaman ibadah mereka dengan suasana yang selesa selain turut mengandungi 120 inisiatif kerohanian sepanjang musim haji tahun ini.
Untuk memberikan pengalaman ibadah yang optimum, usaha perkhidmatan digital agama dilakukan dengan lebih meluas dengan adaptasi teknologi dan AI.
Dengan penyediaan platform ini, inisiatif khusus keagamaan sedang diaktifkan yang sekali gus dapat mengurangkan halangan ruang dan masa untuk beribadat
“Pelan perancangan tahun ini merupakan hasil usaha pasukan presidensi melalui persediaan, perancangan, kajian serta pengalaman menerusi musim haji yang terdahulu,” kata Al-Sudais ketika majlis pelancaran pada Khamis lalu.
Menurut Al-Sudais, pelbagai agensi di bawah dua masjid suci berkerjasama rapat untuk memastikan kelancaran dan keselesaan jemaah haji tahun ini.
Antara yang terkandung dalam pelan untuk musim haji 2024 ialah pelbagai acara dan ratusan program keagamaan yang mencakupi pelajaran saintifik dan panduan.
Selain itu, pihak presidensi juga akan meningkatkan usaha untuk kerja sukarelawan dan kemanusiaan dengan mengambil kira nilai pemurah yang dianjurkan Islam dan mengangkat hospitaliti Arab Saudi.
Presidensi Hal Ehwal Agama Masjidil Haram dan Masjid Nabawi adalah sebuah badan bebas yang ditubuhkan pada Ogos 2023 dan bernaung di bawah institusi Diraja Saudi bagi menyelia urusan dan pengajaran agama di Makkah dan Madinah.
Dianggarkan hampir dua juta umat Islam dari seluruh dunia akan menunaikan ibadah haji tahun ini.