REGINALD Walton baharu sahaja selesai membuat penghantaran di Texas dan sedang dalam perjalanan menuju ke Louisiana, Amerika Syarikat (AS) ketika dia terlihat sosok seperti anak patung sedang merangkak di tepi lebuh raya.


Ringkasan AI
  • Reginald Walton menemui seorang bayi merangkak di tepi lebuh raya semasa dalam perjalanan dari Texas ke Louisiana dan segera menghubungi 911 untuk mendapatkan bantuan.
  • Pihak berkuasa mengesahkan bayi lelaki berusia 12 bulan itu berada dalam keadaan baik selepas diselamatkan, walaupun telah 'berlegar-legar' sendirian selama 48 jam semasa Hurikan Beryl melanda.
  • Ibu bayi tersebut, Aaliyah Jack, telah ditahan di Mississippi dan dikenakan beberapa pertuduhan termasuk pembunuhan darjah kedua di Louisiana, selepas penemuan mayat anak lelakinya yang berusia empat tahun di sebuah tasik.


"Saya terus menghubungi talian kecemasan 911," kata pemandu treler, Walton kepada Associated Press (AP) pada Jumaat.

Menurutnya, bayi itu terus duduk dan tersenyum apabila melihatnya.

"Dia kemudiannya cuba bangun dan mula menangis serta menuju ke arah saya. Dia terus berhenti menangis apabila saya memegang tangannya.

"Saya berasa sangat sedih apabila memikirkan ada yang sanggup meninggalkan bayi sendiri di tepi jalan. Saya bersyukur kerana dapat membantunya," ujarnya lagi ketika 'bertemu' dengan bayi itu pada Selasa lalu.

Difahamkan, pihak berkuasa sebelum ini giat menjejaki 'bayi ajaib' itu setelah penemuan mayat abangnya yang berusia empat tahun di sebuah tasik pada awal minggu lalu.

Syerif Calcasieu Parish, Gary Guillory memaklumkan bayi lelaki berusia 12 bulan itu dipercayai 'berlegar-legar' sendirian selama 48 jam ketika Hurikan Beryl yang membawa angin kencang dan hujan lebat melanda Texas.

Beberapa jam selepas Walton menyelamatkan bayi itu, Guillory mengesahkan bayi itu berada dalam keadaan baik meskipun tubuhnya dipenuhi kesan gigitan serangga.

Pada Isnin, pihak berkuasa menahan ibu mangsa, Aaliyah Jack, 25, di Meridian, Mississippi dan suspek kemudiannya dikenakan beberapa pertuduhan termasuk pembunuhan darjah kedua di Louisiana. - Sinar Harian/ Agensi