BAGHDAD: Serangan bom yang menyasarkan sebuah lapangan terbang di wilayah separa autonomi Kurdistan Iraq pada Isnin, membunuh enam orang dan mencederakan seorang yang lain, menurut pegawai tempatan dan sumber perubatan, lapor Xinhua.

Kejadian berlaku di Lapangan Terbang Pertanian Arbat di pinggir tenggara bandar Sulaymaniyah, kira-kira 325 kilometer timur laut Baghdad pada petang Isnin.

"Masih belum jelas sama ada serangan itu menggunakan dron, artileri atau peluru berpandu.

"Pihak berkuasa keselamatan masih cuba mengenal pasti sama ada insiden itu merupakan serangan pengganas, serangan yang tidak sengaja atau dilakukan oleh pihak luar," kata sumber itu.

Beliau berkata pasukan keselamatan telah mengepung lapangan terbang itu dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti jenis punca serangan dan pihak yang terlibat.

Sumber perubatan di Hospital Shar di Sulaymaniyah berkata enam terbunuh dalam pengeboman di lapangan terbang Arbat dan seorang lagi cedera parah.

Pihak berkuasa keselamatan Kurdish belum membuat kenyataan rasmi mengenai serangan itu.

-- BERNAMA