LOS ANGELES: Satu insiden tembakan di Honolulu County, Hawaii pada Sabtu malam mengorbankan empat orang termasuk suspek manakala dua lagi cedera, menurut pihak berkuasa pada Ahad.

"Tiga individu, termasuk suspek, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Beberapa mangsa lain yang cedera telah dibawa ke hospital," kata Jabatan Polis Honolulu dalam satu hantaran di Facebook, lapor Xinhua.

Jabatan itu dalam kemas kini kemudian mengesahkan seorang daripada mangsa yang cedera meninggal dunia di hospital manakala dua lagi masih menerima rawatan.

Menurut Jabatan Polis Honolulu, pihaknya bergegas ke kawasan Waianae Valley selepas dimaklumkan mengenai insiden pada 11.15 malam waktu tempatan.

Jabatan itu masih menyiasat insiden berkenaan.

--BERNAMA-XINHUA