ANKARA: Sekurang-kurangnya 4,119 pelajar sekolah Palestin terkorban dan 7,536 lagi cedera dalam serangan berterusan Israel ke atas Gaza sejak 7 Okt lepas, menurut Kementerian Pendidikan Palestin pada Selasa.

Selain pelajar di Gaza, tentera Israel turut membunuh 37 pelajar dan mencederakan 282 yang lain di Tebing Barat yang diduduki sejak perang bermula pada 7 Okt, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan kementerian itu yang disiarkan oleh agensi berita rasmi Palestin, WAFA.

Menurut kenyataan itu, tentera Israel turut menyebabkan kematian 221 guru dan kakitangan pendidikan dan mencederakan 703 yang lain.

Ia juga berkata 343 sekolah di seluruh Gaza dan 38 sekolah di Tebing Barat musnah dalam pengeboman Israel.

Menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan, sekurang-kurangnya 21,978 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh dan 57,697 yang lain cedera dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt lepas.

-- BERNAMA