NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 22 orang maut dan dua lagi hilang ketika hujan lebat sejak empat hari lepas mencetuskan banjir besar dan tanah runtuh di negeri Tripura, timur laut India, kata pegawai pada Jumaat.

Menurut jabatan hasil tempatan, kira-kira 1.7 juta orang terjejas di negeri itu akibat banjir.

Banjir menyebabkan kerosakan yang meluas pada rumah, infrastruktur, jalan raya dan pertanian.

Pihak berkuasa mewujudkan 450 kem bantuan di seluruh negeri, menempatkan lebih 65,000 orang.

Paras air sungai di negeri itu kekal tinggi dan banjir itu menyebabkan daerah Gomati, Tripura Selatan, Unakoti dan Tripura Barat terjejas teruk.

"Laporan awal menunjukkan kerosakan meluas pada infrastruktur fizikal dan tanaman pertanian serta kerosakan rumah dan ternakan," kata pegawai kanan kerajaan tempatan, Brijesh Pandey, semasa sidang media, lapor Xinhua.

Beliau berkata, tanah runtuh dilaporkan di 2,032 tempat, yang 1,789 daripadanya telah dibersihkan, sementara kerja pemulihan sedang berlangsung di lokasi yang lain.

Menurut penyiar negeri, All India Radio, hujan berterusan selama empat hari yang melanda Tripura menyebabkan kerosakan meluas kepada sektor pertanian dan tenaga.

Kerajaan tempatan meminta bantuan daripada Angkatan Udara India, yang mengaktifkan aset udara penting untuk memberikan bantuan dan sokongan kepada kawasan yang terjejas banjir. Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan juga dikerah untuk menjalankan operasi bantuan dan penyelamatan.

Banjir turut menjejaskan perkhidmatan kereta api dari Agartala, ibu kota Tripura. Telekomunikasi terganggu di Gomati, Tripura Selatan dan kawasan lain yang terjejas banjir.

Institusi pendidikan ditutup sehingga notis selanjutnya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi India meramalkan hujan lebat hingga sangat lebat di banyak bahagian negeri. Amaran merah juga dikeluarkan untuk keseluruhan negeri. - BERNAMA