ISTANBUL: Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Timur Dekat mengumumkan pada Jumaat bahawa 205 pekerja bantuan kemanusiaan telah dibunuh oleh tentera Israel di Gaza sejak 7 Okt, lapor Agensi Anadolu (AA).

Dalam satu kenyataan, agensi PBB melaporkan bahawa serangan Israel yang berterusan ke atas Gaza mengakibatkan "korban orang awam, perpindahan orang ramai dan kemusnahan struktur kediaman dan infrastruktur awam."

"Sehingga 7 Ogos, jumlah rakan sekerja UNRWA yang terbunuh sejak 7 Okt ialah 205," kata agensi itu.

Kenyataan itu juga menekankan bahawa "sehingga 1.9 juta orang (atau sembilan daripada 10 orang) di seluruh Semenanjung Gaza kehilangan tempat tinggal secara dalaman, termasuk orang yang telah berulang kali kehilangan tempat tinggal (ada yang sehingga 10 kali)."

Sistem kesihatan kekal "hampir tidak berfungsi dengan 90 hospital dan pusat penjagaan kesihatan primer tidak berfungsi," menurut agensi itu.

UNRWA menyatakan bahawa ia kekal sebagai "badan utama dalam sektor kesihatan, menyediakan perkhidmatan kesihatan di 10 pusat kesihatan primer dan menawarkan pusat perubatan bergerak di 100 lokasi di seluruh Semenanjung Gaza.

-- BERNAMA