CHICAGO: Seorang lelaki dan wanita terbunuh manakala sekurang-kurangnya 14 yang lain cedera dalam kejadian tembakan di majlis keraian di New Jersey pada Sabtu malam, menurut Agensi Berita Anadolu.

Pihak berkuasa New Jersey Amerika Syarikat (AS) masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti motif kejadian dan setakat ini belum ada sebarang tangkapan dibuat.

Dilaporkan lebih 100 orang menghadiri pesta itu dan polis masih mengumpul maklumat.

Menurut seorang sumber, beliau mendengar kira-kira sembilan das tembakan berturut-turut dari lokasi kejadian.

Beberapa jam selepas kejadian tembakan di New Jersey, berlaku pergaduhan di luar sebuah bar di timur Ohio mencetuskan satu lagi siri tembakan, menyebabkan tiga orang terbunuh dan lapan yang lain cedera.

Kira-kira 24 jam sebelum kejadian, dua orang terkorban dan lapan cedera ketika pergaduhan berlaku di pusat bandar Minneapolis. Dalam kejadian itu, dua suspek lelaki disyaki bersenjata; seorang berjaya ditahan manakala seorang lagi maut.

Beberapa siri kejadian tembakan yang berlaku telah mencetuskan banyak desakan supaya pihak berkuasa mengetatkan lagi kawalan senjata api dan isu ini masih hangat diperdebatkan di Amerika.

-- BERNAMA