Seorang lelaki berusia 27 tahun melepaskan tembakan ke arah orang ramai selepas satu konsert di sebuah perkampungan di barat Austria, lalu membunuh dua orang dan mencederakan 11 yang lain.

Setelah melakukan serangan tersebut, dia terus menembak dirinya lalu mati serta-merta, kata polis hari ini.

Kejadian itu berlaku di bandar Nenzing, wilayah Vorarlberg di mana sekitar 150 orang masih berlegar di lokasi selepas menyaksikan sebuah konsert mini.

Insiden bermula dengan satu pertengkaran yang berlaku di kawasan tempat letak kereta, dengan lelaki itu mengambil senjata api dari dalam kereta dan seterusnya melepaskan tembakan rambang.

Kes itu masih disiasat pihak berkuasa, namun hasil siasatan awal menafikan insiden itu ada kaitan dengan pilihan raya Presiden Austria yang bakal berlangsung pada Ahad.