Seramai enam belas rakyat Palestin dilaporkan terkorban apabila bas dinaiki mereka hilang kawalan lalu merempuh beberapa kenderaan termasuk sebuah treler kira-kira 20 kilometer dari jambatan merentasi Sungai Jordan yang dikawal Israel.

Kesemua penumpang dilaporkan dalam perjalanan pulang ke Tebing Barat sesudah selesai menunaikan umrah.

Sejumlah tiga puluh dua penumpang lain dilaporkan cedera.

Menurut pihak berkuasa tempatan, bas itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh kenderaan lain.

Salah seorang mangsa yang terselamat, Tofaha Abu Asamen memaklumkan, pada perjalanan balik dari menunaikan umrah, bas yang mereka naik dipandu dengan laju.

“Bagaikan mimpi ngeri apabila bas yang membawa kami secara tiba-tiba hilang kawalan dan merempuh kenderaan-kenderaan lain,” kata Abu dengan penuh trauma.

Saksi di tempat kejadian, Bassam Abu Shifan memaklumkan, beliau mendengar bunyi geseran tayar yang kuat sebelum melihat bas terbabit merempuh sebuah trailer kemudiannya terbalik setelah melanggar sebuah bangunan disini.

Lokasi kejadian merupakan sempadan dan laluan utama yang menghubungkan Tebing Barat dengan dunia luar.