Seorang jurucakap berkata, pasukan penyelamat sedang bertungkus-lumus memulihkan beberapa orang yang hilang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan di sekolah Mustafa Hafiz di kawasan kejiranan Rimal barat.
Tentera Israel mendakwa, mereka telah menyasarkan pusat arahan dan kawalan Hamas di dalam sekolah itu dan telah mengambil langkah untuk mengurangkan risiko mencederakan orang awam.
Sebelum ini, rejim itu mengumumkan bahawa tentera telah menemui mayat enam tebusan Israel yang ditahan di kawasan Khan Younis.
Keenam-enam lelaki itu merupakan antara 251 orang yang diculik oleh lelaki bersenjata pimpinan Hamas dalam serangan 7 Oktober di selatan Israel tahun lalu yang mengorbankan 1,200 orang.
Israel melancarkan kempen udara dan darat untuk memusnahkan Hamas sebagai tindak balas sehingga menyebabkan lebih 40,170 orang telah terbunuh di Gaza, menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas di wilayah itu.
Dalam serangan terbaharu Israel pada Selasa, wanita dan kanak-kanak kedengaran menjerit dan berlari dari sekolah Mustafa Hafiz yang diselubungi debu dalam video yang disiarkan di media sosial.
Jurucakap Pertahanan Awam, Mahmoud Basal berkata, pasukan penyelamat setakat ini telah menemui 12 mayat.
Beliau berkata, serangan itu telah menyasarkan seluruh bangunan sekolah itu dan dianggarkan 700 orang yang kehilangan tempat tinggal.
Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa, pesawat telah melakukan "serangan tepat ke atas pasukan yang beroperasi di dalam pusat arahan dan kawalan Hamas" yang dtempatkan di sekolah dan digunakan untuk merancang dan melancarkan serangan terhadap tenteranya dan Israel.
"Sebelum serangan itu, banyak langkah telah diambil untuk mengurangkan risiko mencederakan orang awam termasuk penggunaan peluru berpandu yang tepat, pemantauan udara dan risikan tambahan," dakwa IDF.
IDF turut menuduh Hamas melanggar undang-undang antarabangsa dengan beroperasi dalam infrastruktur awam dan mengeksploitasi penduduk awam Gaza - tuduhan yang dinafikan Hamas sebelum ini.
Awal bulan ini, Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam apa yang disebutnya "kekerapan yang semakin meningkat" serangan Israel ke atas sekolah-sekolah yang melindungi orang yang kehilangan tempat tinggal dan mengecam IDF "dengan jelas tidak menghiraukan kadar kematian orang awam yang tinggi."
Kecaman itu dikeluarkan selepas sekurang-kurangnya 70 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara
ke atas sekolah al-Taba'een di Gaza City, menurut pengarah sebuah hospital tempatan.
PBB berkata pada masa itu, Israel telah melakukan sekurang-kurangnya serangan ke-21 ke atas sebuah sekolah yang berfungsi sebagai tempat perlindungan sejak 4 Julai lalu dan mengakibatkan sekurang-kurangnya 274 kematian.
Pada Selasa juga, pasukan pertahanan awam berkata, lima orang telah terbunuh dalam serangan ke atas sebuah rumah di kem pelarian Bureij, di tengah Gaza, manakala agensi berita Palestin Wafa memetik sumber perubatan sebagai berkata, empat rakyat Palestin terbunuh di Deir al-Balah berdekatan.
IDF dalam masa sama mendakwa, tentera dan pesawatnya telah "menghapuskan banyak anggota pejuang" yang beroperasi di tengah Gaza, termasuk dua yang keluar dari terowong bawah tanah dan cuba memasang alat letupan.
Insiden itu berlaku ketika Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken melawat Mesir untuk terus menggunakan tekanan diplomatik dalam usaha merealisasikan gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan antara Israel dan Hamas.
Selepas perbincangan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Isnin, Blinken berkata, Israel telah menerima cadangan AS yang bertujuan untuk merapatkan jurang yang tinggal antara pihak yang bertelagah.
Dalam perkembangan sama, Hamas menuduh AS "bersetuju" apa yang disebutnya sebagai "syarat baharu" Netanyahu.
Pasukan pejuang Palestin itu juga mengkritik kenyataan Presiden AS, Joe Biden sebagai mengelirukan apabila mendakwa, ia seolah-olah "menarik diri" daripada perjanjian tersebut. - Agensi