DAVOS: Kadar faedah yang tinggi menjadi ancaman utama ekonomi untuk beberapa tahun mendatang, kata Presiden Peterson Institute for International Economics (PIIE), Adam Posen.
 
Menurut beliau, kadar faedah yang tinggi khususnya di Amerika Syarikat akan menjejaskan negara membangun.
 
“Bagi saya, inflasi bukan ancaman untuk beberapa tahun akan datang.

"Saya rasa apa yang akan menjejaskan manusia untuk beberapa tahun akan datang dalam konteks makroekonomi adalah kadar faedah yang tinggi,” kata Posen pada sesi bertajuk 'The Prices We Pay' di Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2024 di sini, pada Khamis.
 
Tambahnya, disebabkan dunia yang kian terpecah, perbelanjaan kerajaan kini tidak hanya tertumpu kepada isu sosial dan transisi tenaga hijau, sebaliknya pertahanan.

Selain itu, beliau berkata, ketegangan hubungan antara China dan Amerika Syarikat secara purata turut berisiko meningkatkan kadar faedah kerana aliran dana antara dua negara terjejas.
 
“Perkara yang lebih buruk adalah, negara membangun akan sengsara jika kadar faedah jangka panjang Amerika Syarikat meningkat.
 
“Penduduk yang terjejas adalah yang meminjam dan (yang terjejas) ketersediaan modal serta tadbir urus awam di negara membangun,” katanya.
 
Posen pada masa sama berkata, perbelanjaan awam seharusnya ditingkatkan ketika ekonomi rapuh namun ia harus segera diimbangi dengan kutipan cukai yang mampan.
 
“Jika kita komited untuk berbelanja besar, kita perlu berbelanja besar atau pulang sahaja ke rumah.

"Kita harus berbelanja lebih besar dan kita harus melaksanakan cukai yang mencukupi untuk perbelanjaan itu,” katanya.
 
Beliau berharap perkongsian cukai yang besar dapat dilaksanakan dan ia harus diterjemahkan kepada perbelanjaan awam.