KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 membabitkan golongan usahawan mikro masih dalam fasa perbincangan berikutan banyak rayuan yang diterima selain bimbang tidak mampu melaksanakannya.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, usahawan mikro sememangnya kumpulan yang terjejas teruk akibat kesan daripada pandemik COVID-19.

Melihat kepada situasi itu, Noh Omar berkata, ramai peniaga yang bimbang sekiranya gagal untuk membayar jumlah gaji minimum tersebut.

“Jika usahawan terbabit tidak membayar gaji minimum seperti ditetapkan, pekerja boleh melaporkan perkara itu kepada Jabatan Buruh.

“Sebab itu, usahawan mikro meminta gaji minimum jika boleh jangan dikenakan kepada mereka dulu.

“Kita bagaimanapun amat menggalakkan mana-mana usahawan mikro yang mampu untuk bayar gaji minimum (RM1,500),” katanya ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Siri Emas Edisi Khas 100 Tahun Gerakan Koperasi, di ibu negara pada Rabu.

Pada 19 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kelulusan pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan di seluruh negara mulai 1 Mei ini.

Bagaimanapun wujud  beberapa keluhan dalam kalangan sektor tertentu berhubung soal kemampuan untuk membayar kadar gaji minimum tersebut.