Usahawan di negara ini diharap dapat mengambil peluang keuntungan sekurang-kurangnya lima peratus daripada nilai produk halal dunia yang dianggarkan sekitar USD7 trilion.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata sekiranya ia menjadi kenyataan, usahawan tempatan dijangka dapat menarik USD350 bilion daripada industri berkenaan yang kini dilihat semakin berkembang pesat.

"Saya baru balik dari Eropah dan Rusia, semua bercerita tentang sektor berpotensi tinggi iaitu produk halal, dari sekecil penyembelihan halal sehingga kepada produk farmaseutikal halal dan Bank Dunia turut memperakui bahawa USD7 trilion adalah meliputi produk halal.

"Bayangkan jika usahawan kita dapat menerokai peluang lima peratus ini atau USD350 bilion daripadanya, itu sudah cukup. KDNK negara kita RM1.3 trilion," katanya kepada pemberita pada program Fiesta MED 2019 anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob.

Beliau melahirkan rasa puas hati apabila menerima maklum balas positif mengenai produk halal dari Malaysia yang dieksport ke luar negara termasuk produk berasaskan gamat dan minyak masak serta penyembelihan halal.

"Namun, cabaran kita ketika ini adalah untuk memastikan usahawan kita mengambil peluang yang sedia ada," katanya.

Pada majlis itu, turut diadakan adalah program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) bertujuan memperkenal, mempromosi dan memartabatkan produk serta perkhidmatan usahawan SDSI dari Melaka, Johor dan Negeri Sembilan melibatkan 144 usahawan dalam empat kluster iaitu makanan dan minuman, kraftangan, inap desa serta kesihatan.

Menurut Mohd Redzuan, program SDSI kali ini berjaya meraih potensi jualan bernilai hampir RM10 juta melalui 120 sesi padanan perniagaan, manakala sehingga kini, hasil kutipan jualan gerai termasuk perniagaan trak makanan adalah sebanyak kira-kira RM300,000.