Tiger Synergy Bhd mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM1.54 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2012, berbanding dengan keuntungan sebelum cukai RM6.05 juta dalam tempoh yang sama 2011.

Pendapatannya susut kepada RM34.12 juta daripada RM38.14 juta sebelumnya, kata syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Ia berkata penurunan itu adalah disebabkan kos tinggi dan margin keuntungan rendah yang dicatatkan daripada bahagian pembangunan hartanah.

Kumpulan itu tetap yakin dengan prospek asas pasaran hartanah Malaysia meskipun jangkaan keadaan tidak menentu akibat daripada kelembapan ekonomi global.

Ia berkata dalam makroekonomi negara, demografi positif, kestabilan pekerjaan, penurunan berstruktur dalam permulaan perumahan dan sektor perbankan akan terus menyumbang kepada daya tahan permintaan.

"Dengan prospek itu, kumpulan baru-baru ini memeterai perjanjian usaha sama untuk membangunkan beberapa bidang tanah dengan nilai pembangunan kasar RM160 juta," kata syarikat tersebut.