Tertuduh, Mohamad Faizul Baharudin, 44 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Shariff.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Faizul didakwa menipu seorang wanita berumur 64 tahun dengan mendorong mangsa untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM24,000 kepadanya bagi mendapatkan pekerjaan sebagai juruterbang yang tidak wujud.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di mesin ATM CIMB Bank, Gunung Rapat, di sini, antara jam 12 dan 1 tengah hari, 22 Dis 2016 hingga 8 Apr 2018.
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu dan 10 tahun, sebatan dan boleh juga dikenakan denda.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM4,500 dan menetapkan 27 Nov depan untuk tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nuranisah Ismah Muhammad Husaini manakala tertuduh diwakil peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Robert Gnanarajan.
Terdahulu pagi ini, Harian Metro melaporkan lelaki yang pernah menyamar sebagai timbalan pendakwa raya, juruterbang, jurutera Petronas dan pelbagai profesion lain itu akhirnya diberkas selepas enam tahun diburu polis.
Difahamkan, suspek menipu mangsa dengan kerugian mencecah jutaan ringgit sejak 2001 hanya dengan menggunakan kepetahan berbicara dan kepakaran dalam melakonkan pelbagai peranan untuk memperdaya orang ramai.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dipetik berkata, suspek ditahan pada 11.45 malam Selasa lalu di sekitar Ampang, Selangor.