Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata wanita berusia 47 tahun yang kemudiannya berkomunikasi di aplikasi Line, telah ditawarkan perniagaan dalam TikTok Mall dengan menjanjikan pulangan tinggi, mudah dan cepat.
Beliau berkata individu itu meyakinkan mangsa bahawa dia hanya perlu memilih jenis barangan yang ingin dijual dan mendahulukan wangnya bagi barangan yang ditempah pelanggan.
"Wang itu kononnya akan dikembalikan kepada mangsa dengan kadar keuntungan 20 hingga 30 peratus, selepas pelanggan membuat pembayaran.
"Mangsa yang berminat dengan tawaran itu memilih untuk menjual barangan susu bayi dan diberi pautan untuk melihat tempahan yang dibuat pelanggan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kumar berkata mangsa kemudiannya dihubungi seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai operator TikTok dan dia diarahkan membuat pembayaran atas nilai tempahan yang diterima.
"Seterusnya, mangsa melakukan pembayaran pertama ke atas akaun bank yang diarahkan dan menerima kembali wangnya berserta 50 peratus keuntungan pada tarikh sama (akhir Julai), iaitu lebih tinggi daripada kadar yang dijanjikan sehingga membuatkan dia percaya perniagaan itu adalah betul.
"Mangsa yang percaya tempahan pelanggan semakin meningkat selain mahu mendapat keuntungan lebih tinggi telah mengikut arahan yang diberikan, dengan membuat pembayaran ke pelbagai akaun bank secara berperingkat berjumlah RM1,041,100, bermula akhir Julai hingga bulan ini," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata mangsa tidak menerima semula bayaran yang dibuat serta keuntungan dijanjikan menyebabkan dia mengesyaki telah ditipu, malah individu berkenaan gagal dihubungi dan segala komunikasi di antara mereka juga telah dipadamkan.
"Mangsa kemudiannya membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
-- BERNAMA