Kementerian Pengangkutan hari ini mengesahkan tiada pertukaran nama untuk Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2) meskipun terdapat cadangan dari syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia untuk melabelnya sebagai LCCT2.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, nama klia2 telah didaftarkan sebahagian dari kod rasmi KLIA, iaitu 'KUL' di bawah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

"Adalah tidak perlu, mahupun praktikal atau tepat untuk menukar nama klia2. Nama tidak seharusnya ditukar semata-mata untuk tujuan menukar.

"Tambahan, jenama nama klia2 telah digunakan sejak penubuhannya, dua tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Bagaimanapun, Liow berkata kementerian itu terbuka untuk mendengar penjelasan dari AirAsia tentang apa jua cadangan untuk meletakkan klia2 di peringkat antarabangsa sebagai terminal tambang murah utama.

Katanya, kerajaan mengakui hasrat AirAsia untuk menjenamakan klia2 sebagai terminal kos rendah dalam usaha untuk menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia.

"Kerajaan sentiasa menyokong syarikat penerbangan tambang murah negara terutamanya AirAsia.

"Kami gembira kerana dapat memainkan peranan dalam pertumbuhan AirAsia untuk menjadi salah satu syarikat penerbangan tambang murah terbesar di dunia," katanya.

Liow juga berkata kerajaan komited untuk terus menyokong dan menyediakan insentif untuk menggalakkan pertumbuhan sektor syarikat penerbangan tambang murah Malaysia.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar berkata, syarikat itu akan terus melabel klia2 sebagai Terminal Penerbangan Tambang Rendah 2 (LCCT2).

Menurut beliau, penukaran nama kepada LCCT2 penting kerana ia akan memberi identiti kepada AirAsia selaku pemain dalam industri penerbangan kos rendah utama di Malaysia dan Asia.

Namun, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Badlisham Ghazali pada Selasa memaklumkan, penggunaan nama lain menggantikan jenama rasmi, klia2 adalah satu kesalahan kerana menyalahi undang-undang penerbangan.

BACA: AirAsia terus label klia2 sebagai LCCT2

BACA: Guna nama lain selain klia2 adalah satu kesalahan - MAHB


Jelasnya, kempen yang dijalankan oleh syarikat tambang rendah AirAsia untuk menjenamakan klia2 sebagai LCCT2 menyalahi peraturan di bawah IATA dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).