KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.10 peratus yang akan memberi manfaat kepada lebih 8.4 juta pendepositnya bagi Tahun Kewangan 2021.

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Idris Ahmad yang turut memaklumkan TH telah mencatat pendapatan sebanyak RM3.24 bilion bagi tempoh yang sama berbanding RM3.15 bilion pada tahun 2020.

"Jumlah keuntungan yang diagih bagi tahun 2021 adalah RM219 juta lebih tinggi berbanding RM2.24 bilion yang telah diagih bagi tahun kewangan 2020," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu TH juga mengumumkan jumlah aset terkini yang dimiliki ketika ini adalah berjumlah RM88.73 bilion melebihi liabiliti berjumlah RM85.51 bilion yang dicatat sehingga Disember 2021.

[TERKINI] Tabung Haji agih untung RM2.46 bilion


Sementara itu Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar menjelaskan, kadar agihan yang dicatatkan bagi 2021 adalah mencapai sasaran yang ditetapkan sebelum ini.

Ia adalah jumlah yang berpatutan jika diimbangi dengan risiko dan keadaan semasa serta iklim ekonomi ketika ini.

"Alhamdulillah, kami bersyukur TH telah berjaya mencatat kasar keuntungan dan tahap aset dan deposit yang baik pada tahun 2021 walaupun keadaan ekonomi dan pasaran masih belum cukup pulih.

"Pengurusan operasi dan kewangan akan terus diuruskan dengan baik dan teliti demi kelestarian masa depan para jemaah dan pendeposit," jelasnya lagi