Lembaga Tabung Haji (TH) menyambut baik dan komited mendukung aspirasi kerajaan dalam usaha memperkasa ekonomi negara melalui inisiatif reformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selaras dengan rangka kerja Ekonomi MADANI.

Inisiatif diterajui oleh Kementerian Kewangan Malaysia dengan sinergi gabungan syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) peneraju termasuk TH ini menyasarkan untuk memangkin sektor-sektor ekonomi utama negara.

Dalam hal ini, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, TH selaku organisasi pengurusan simpanan patuh syariah bagi tujuan haji menyahut tanggungjawab untuk menerajui serta memperluas peranan perbankan Islam dalam menyalurkan bantuan lebih teratur kepada golongan memerlukan.

“Kami beriltizam untuk mengukuhkan kelestarian impak sosial negara menerusi instrumen kewangan Islam.

“Sejak penubuhan lebih enam dekad lalu, TH telah menyalurkan zakat berjumlah RM1.37 bilion kepada Majlis Agama Islam negeri untuk diagihkan kepada golongan asnaf,” kata Syed Hamadah dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Menurut beliau, pada tahun 2023, TH telah menyantuni lebih 560,000 asnaf di seluruh negara melalui Program Zakat Wakalah dengan jumlah zakat sebanyak RM30 juta.

Secara keseluruhannya, lebih daripada 1.6 juta asnaf telah menerima manfaat dari Program Zakat Wakalah TH.

“Sebagai contoh pada tahun 2023, di bawah program ‘pembelajaran’, TH telah menyalurkan RM10 juta kepada para pelajar dalam kalangan asnaf di pelbagai rangkaian universiti awam Malaysia bagi tujuan pembayaran tuisyen, pembelian peralatan dan juga penyediaan makanan.

“Komitmen dalam memperkasa penyaluran bantuan ini turut dapat dilihat melalui kejayaan pelaksanaan Sadaqa House yang dikelola oleh syarikat sekutu kumpulan TH iaitu Bank Islam. Ia merupakan pemacu kewangan sosial diiktiraf di peringkat global yang menggerakkan dana sosial seperti sedekah dan zakat untuk menjana impak positif bagi segmen yang kurang dan tidak mendapat perkhidmatan kewangan,” ujar beliau.

Syed Hamadah berkata, dana dari inisiatif Sadaqa House berjumlah lebih RM25 juta telah disalurkan untuk meningkatkan kemampuan 1,200 usahawan mikro menerusi program pembiayaan mikro iTEKAD.

Selain itu, tambah beliau, dana Sadaqa House juga dimanfaatkan untuk memelihara kesejahteraan hidup dan pendidikan kepada hampir 10,000 penerima manfaat termasuk 86 anak yatim yang melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi serta selebihnya daripada golongan asnaf dan B40 di seluruh negara menerusi pelbagai usaha dan program yang dijalankan.

“TH berharap dengan adanya kerjasama dengan GLC dan GLIC lain di dalam inisiatif memperkasa ekonomi MADANI ini, lebih banyak syarikat-syarikat berkaitan kerajaan akan memperuntukkan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi tujuan tersebut,” kata Syed Hamadah.