Ketua Penyelidik Kaki Palsu Cetakan 3D Mohammad Rafi Omar berkata antara kelebihan produk inovasi berkenaan ialah lebih ringan dengan berat purata hanya satu kilogram sekali gus lebih selesa.
Beliau berkata selain itu, produk tersebut mempunyai reka bentuk ergonomik antaranya pengudaraan baik dengan struktur berlubang bagi membantu mengurangkan peluh terutamanya bagi pesakit diabetes yang mudah mengalami iritasi kulit.
"Pembuatannya selari dengan teknologi semasa iaitu menggunakan teknologi 3D Printing Selective Laser Sintering (SLS) bagi memastikan proses penghasilan lebih pantas, tepat dan berkualiti tinggi.
"Kos penghasilan kaki palsu cetakan 3D pula adalah lebih rendah berbanding kaki palsu konvensional yang agak mahal dan proses penghasilannya hanya mengambil masa sekitar dua minggu bermula daripada proses reka bentuk sehingga ke pembuatan akhir," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata idea penghasilan kaki palsu cetakan 3D berkenaan tercetus berdasarkan maklum balas pengguna yang memerlukan kaki palsu lebih ringan dan selesa.
Menurutnya ini kerana kebanyakan pengguna kaki palsu konvensional berdepan isu ketidakselesaan disebabkan peluh berlebihan.
Situasi itu katanya mengundang masalah lain terutama kepada pesakit diabetis seperti kegatalan, jangkitan dan berisiko berdepan komplikasi serius seperti amputasi tambahan.
Sementara itu, Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata sehingga hari ini, tujuh kaki palsu tersebut diserahkan kepada tujuh penerima terpilih terutama mereka yang berpendapatan rendah di negeri ini.
Beliau berkata kaki palsu cetakan 3D membantu penerima bergerak lebih bebas sekali gus dapat menikmati kualiti hidup lebih baik dan memudahkan mereka untuk bekerja bagi menjana pendapatan sendiri.
Massila berkata dengan kerjasama pihak industri dan pelabur, produk inovasi itu dilihat berpotensi besar untuk dikomersialkan secara meluas di pasaran tempatan dan antarabangsa berdasarkan kelebihan yang dimiliki dan mampu milik, agar dapat memberi manfaat kepada lebih ramai yang memerlukan.
"UTeM terus proaktif melangkah ke hadapan dalam penghasilan produk inovasi yang dapat membantu masyarakat dan golongan sasar tertentu," katanya.
Majlis penyerahan kaki palsu cetakan 3D itu kepada penerima diadakan sempena program Pendayaan Komuniti Universiti Awam (Komuniti@UniMADANI) di Samsung IoT, Kampus Teknologi, UTeM di sini baru-baru ini.
Program yang diselaraskan Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-Melaka di bawah tajaan Kementerian Kewangan itu disempurnakan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan turut dihadiri timbalannya Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
-- BERNAMA
