Beberapa syarikat pembinaan jalan raya Malaysia kini membida projek jalan raya negeri di Rajasthan, berjumlah lebih 3,000 kilometer, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita berharap bidaan mereka akan dipertimbangkan dengan sewajarnya memandangkan pembida Malaysia menawarkan peluang untuk menambah nilai melalui penggunaan teknologi dan inovasi, melalui pemindahan pengetahuan dan kemahiran, pembiayaan yang baik, dan perkongsian kepakaran dan pengalaman," kata beliau.

Najib berkata syarikat pembinaan Malaysia telah mengambil bahagian lebih daripada dua dekad dalam projek-projek di India.

"Malah India adalah negara dengan jumlah projek terbesar yang dilaksanakan oleh kontraktor Malaysia.

"Dari tahun 1996 sehingga akhir 2016, mereka berjaya menyiapkan 98 projek di India, bernilai RM16.06 bilion (atau AS$4.64 bilion) secara keseluruhannya," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian semasa 'Taklimat dan Perbincangan Mengenai Projek dan Peluang Pelaburan Di Rajasthan', yang diadakan di Taj Rambagh di sini.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri negeri terbesar di India itu, Vasundhara Raje Scindia.

Delegasi Najib pada majlis itu termasuk Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Duta Khas ke India dan Asia Selatan bagi Infrastruktur, Datuk Seri Utama S. Samy Vellu dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Hidayat Abdul Hamid.

Najib berkata antara syarikat Malaysia yang telah berjaya melaksanakan projek di India ialah UEM Builders BHd, yang telah menyiapkan lebuh raya di lebih 10 negeri di India, menghubungkan 700 km jalan raya, dan mengintegrasikan plaza tol, jejambat, jambatan dan laluan bawah.

Projek-projek IJM Corporation BHD termasuk projek jalan Tada Nellore; Raintree Park, perbandaran bersepadu di Hyderabad yang dibina di kawasan seluas 8.3 juta kaki persegi; Prestige Shantiniketan, pembangunan bercampur di Bangalore meliputi kawasan lebih 6.5 juta kaki persegi tanah; dan Pusat Sivik Municipal Corporation of Delhi, bangunan tertinggi di ibu negeri itu.

Selain itu, Scomi Group telah membina Mumbai Monorail, projek bernilai US$607 juta melibatkan laluan sepanjang hampir 20 km, katanya.

Perdana Menteri yang dalam lawatan rasmi enam hari ke India, berkata CIDB Malaysia telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jabatan Kerja Raya Rajasthan pada 2015 untuk memudahkan penyertaan syarikat-syarikat Malaysia dalam projek-projek jalan raya negeri.

Najib juga memberitahu pemimpin negeri dan komuniti perniagaan di sini bahawa syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam mana-mana projek pembangunan di India mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan Malaysia.

Malah, beliau berkata kerajaan telah melantik Datuk Seri Zohari Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, sebagai pegawai nod untuk memudahkan semua perkara yang berkaitan dengan penyertaan Malaysia dalam projek-projek pembangunan di India.

"Saya ingin memberi jaminan kepada anda bahawa sebagai Perdana Menteri Malaysia, saya akan dimaklumkan perkembangan terkini sepenuhnya dan sepanjang pelaksanaan projek," kata beliau.

Melalui pengalaman luas yang dimiliki syarikat pembinaan Malaysia, terutama di India, Najib berkata beliau yakin mereka lebih daripada mampu untuk memenuhi dan memberikan infrastruktur yang diperlukan Rajasthan.

Beliau berkata Malaysia berharap untuk memanfaatkan peluang yang luas di negeri ini, termasuk pelancongan, infrastruktur, pengangkutan bandar, perindustrian, tenaga solar, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

"Ini akan memerlukan infrastruktur bertaraf dunia yang akan dibina untuk menampung aliran pelancong yang semakin meningkat dan untuk rakyat Rajasthan bergerak dengan lebih mudah, untuk bekerja, untuk perniagaan, dan atas sebab-sebab sosial," kata Najib.

Beliau turut mengumumkan bahawa CIDB akan menandatangani enam MoU dengan pelbagai organisasi strategik di New Delhi esok, memberi fokus kepada pelbagai bidang pembinaan termasuk kereta api, rawatan air, pembangunan tepian sungai, lebuh raya, bandar pintar, terowong dan pengangkutan bandar.

-- BERNAMA