KUALA LUMPUR: Kadar inflasi Malaysia yang berkurangan kepada 1.9 peratus pada Ogos 2024 telah menimbulkan kebimbangan mengenai implikasi mekanisme subsidi bersasar RON95, kata Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid.


Ringkasan AI
  • Kadar inflasi Malaysia menurun kepada 1.9% pada Ogos 2024, tetapi terdapat kebimbangan tentang kesan pemansuhan subsidi RON95 kerana ia menyumbang 5% kepada Indeks Harga Pengguna (IHP).
  • Ketua Ekonomi Bank Muamalat, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, memberi amaran bahawa pemansuhan subsidi RON95 boleh meningkatkan harga jika tidak ditangani dengan langkah mitigasi yang betul, seperti bantuan tunai kepada isi rumah yang layak.
  • Kerajaan perlu memastikan perniagaan tidak menaikkan harga secara berlebihan, dan komunikasi jelas kepada rakyat adalah penting untuk mengurangkan kebimbangan tentang kemungkinan kenaikan harga.


Beliau menegaskan sumbangan besar RON95 sebanyak 5.0 per peratus kepada Indeks Harga Pengguna (IHP) meletakkannya sebagai faktor utama dalam menentukan arah aliran inflasi masa hadapan.

Walaupun kadar inflasi dicatatkan lebih rendah (pada Ogos 2024), sebahagian besarnya disumbangkan oleh kestabilan harga dalam sektor makanan dan minuman (F&B), oleh itu, Mohd Afzanizam memberi amaran bahawa rancangan pemansuhan subsidi RON95 mampu memberi tekanan ke atas harga jika tidak dikendalikan dengan teliti.

"Memandangkan penggunaan RON95 adalah agak tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia, sebarang pelarasan subsidi mesti ditentukur dengan tepat," katanya kepada Bernama.

Beliau menegaskan kepentingan melaksanakan langkah mitigasi yang berkesan seperti pemindahan tunai terus kepada isi rumah yang layak bagi memastikan mereka yang terjejas mendapat sokongan.

"Komunikasi yang jelas mengenai langkah-langkah ini adalah penting untuk mengurangkan kebimbangan orang ramai tentang kemungkinan kenaikan harga.

"Selain itu, kerajaan perlu memastikan tingkah laku penetapan harga dalam kalangan perniagaan diteliti untuk mengelakkan kenaikan harga yang berlebihan yang membolehkan mereka memperoleh keuntungan luar biasa," tambahnya.

Mohd Afzanizam berkata ketika Malaysia bersedia menghadapi perubahan ekonomi ini, pihak pengurusan subsidi RON95 akan memainkan peranan penting dalam mengekalkan inflasi yang stabil selain memastikan keyakinan pengguna terhadap pasaran.

Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) berkata inflasi Malaysia berkurangan kepada 1.9 peratus pada Ogos 2024, didorong oleh kenaikan harga pada restoran dan utiliti serta makanan yang lebih mahal, walaupun IHP menokok kepada 133.2 berbanding 130.7 yang dicatatkan pada bulan yang sama 2023.

-- BERNAMA